Malaysia catat pelaburan RM235.9b tahun lalu.

KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat pelaburan sebanyak RM235.9 bilion tahun lalu yang juga rekod tertinggi yang pernah diterima setakat ini, meningkat lapan peratus berbanding RM219.4 bilion pada 2013.

Perkembangan itu juga sekali gus meletakkan negara semakin hampir ke arah sasaran mencapai status ekonomi maju dalam tempoh lima tahun lagi.

Prestasi memberangsangkan pelaburan negara pada 2014 dicapai di sebalik persekitaran mencabar yang menyaksikan penurunan arah aliran pelaburan langsung asing global.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata prestasi pelaburan negara pada tahun lalu mengatasi purata sasaran pelaburan tahunan RM148 bilion yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10).

"Pelaburan tertinggi ini akan membiayai 5,942 projek diluluskan dan dijangka mewujudkan hingga 178,365 peluang pekerjaan baharu," katanya membentangkan laporan prestasi pelaburan tahunan negara yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini hari ini.

Pelaburan domestik (DDI) menguasai sebahagian besar pelaburan yang diterima sepanjang tahun lalu, membabitkan RM171.3 bilion atau 72.6 peratus.

Pelaburan langsung asing (FDI) pula sebanyak RM64.6 bilion atau 27.4 peratus daripada jumlah pelaburan keseluruhan pada 2014.

Mustapa berkata, pelaburan yang diterima pada 2014 mencerminkan transformasi Malaysia menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi dengan beberapa projek berkualiti dalam teknologi moden serta perkhidmatan pembuatan muncul sebagai projek terbesar tahun lalu.

Sektor pembuatan kekal sebagai daya tarikan terbesar dengan merekodkan sebanyak 5,059 projek diluluskan membabitkan pelaburan berjumlah RM149.6 bilion yang dijangka mewujudkan hingga 98,543 peluang pekerjaan.

"Sektor pembuatan juga terbukti menarik kepada pelabur tahun lalu apabila pelaburan diluluskan melonjak 38 peratus kepada RM71.9 bilion," katanya.

Antara projek berkualiti yang diluluskan pada tahun lalu adalah menerusi pelaburan Infineon bernilai RM4 bilion bagi meningkatkan pengeluaran semikonduktor untuk industri automotif, pengurusan kuasa dan keselamatan perisian.

Kompleks Bersepadu Pengerang yang menelan belanja sebanyak AS$27 bilion (RM96 bilion) pula dijangka mula beroperasi pada 2019.

Sementara itu, mengikut MIDA, ASEAN akan terus menjadi daya tarikan untuk menarik pelaburan ke negara ini.

Kebanyakan pelaburan yang diterima Malaysia pada tahun lalu datang daripada firma multinasional yang berminat menjadi sebahagian kuasa ekonomi Komuniti Ekonomi ASEAN.

Menuju ke hadapan, Mustapa berkata kerajaan akan terus memperkenalkan pelbagai langkah untuk meningkatkan daya saing negara sepanjang tahun ini.

"Ini termasuklah langkah yang diumumkan pada Bajet 2015 seperti insentif cukai bagi hab prinsipal dan projek dilabur dalam bidang inovasi, teknologi serta membabitkan penghasilan pekerjaan berpendapatan tinggi," katanya.

MIDA menyasar menerima pelaburan RM56 bilion dalam sektor pembuatan dan RM64.5 bilion dalam sektor perkhidmatan (tidak termasuk industri hartanah). 

Posted on : 27 February 2015
//
Last Updated : Thursday 17th October 2019