Sudah sampai masanya perkukuh kembali ekonomi Malaysia - Institut Masa

Sudah sampai masanya untuk semua pihak memperkukuh kembali ekonomi dalam normal baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan pandemik COVID-19

Sudah sampai masanya untuk semua pihak memperkukuh kembali ekonomi dalam normal baharu yang tidak pernah berlaku sebelum ini berikutan pandemik COVID-19.

Namun, usaha membangunkan semula negara dan ekonomi perlu didasari pelan pemulihan strategik bagi memulakannya semula serta melindungi warga terutama yang kehilangan pendapatan ketika Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa sejak 18 Mac.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa Depan Malaysia (Masa) Mohd Nizam Mahshar berkata Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) sewajarnya digunakan sebagai pelan pemulihan ekonomi kerana COVID-19 memberi impak bagi jangka dua hingga lima tahun akan datang.

Beliau berkata menerusi pelan itu, ekonomi Malaysia perlu dipastikan kalis krisis serta pendapatan rakyat Malaysia dapat ditingkatkan.

“Berdasarkan sumber kerajaan pada masa sekarang, inilah waktu terbaik untuk kita mengambil peluang meneliti ekonomi negara secara menyeluruh. Ada ulasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) yang mengatakan RMKe-12 harus dilihat semula.

“Sebagai yang bertanggungjawab merangka RMKe-12, apa yang disebut itu adalah amat berkaitan bahawa dasar dan dinamik ekonomi negara telah berubah begitu juga ekonomi global. Semua dinamik ini menuntut sewajarnya RMKe-12 digunakan sebagai pelan pemulihan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Masa Depan - Pemulihan Ekonomi: Pasca COVID-19 hari ini.

Dalam program secara dalam talian itu, pakar ekonomi Prof Jomo Kwame Sundaram turut menjadi anggota panel yang membincangkan topik tersebut.

Mohd Nizam berkata COVID-19 telah memberi kesan besar kepada golongan mudah terjejas yang mewakili 60 peratus rakyat Malaysia, dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan, serta perusahaan mikro.

"Ekonomi Malaysia tidak boleh suai dengan ekonomi masa depan dan kemampanan. Contohnya, berdasarkan data, penggunaan teknologi tinggi kita berbanding dengan pertumbuhan ekonomi telah susut kepada lapan peratus daripada 18 peratus.

“Begitu juga data-data lain. (Penggunaan teknologi tinggi dalam) pembuatan dan perkhidmatan kita juga masih rendah, jauh berbeza daripada aspirasi Malaysia yang menekan ekonomi digital dan Revolusi Perindustrian Keempat,” katanya.

Beliau berkata tanpa kebolehsesuaian dengan ekonomi masa depan, Malaysia kini amat bergantung dengan pekerja asing berkemahiran rendah.

Penting untuk memastikan ekonomi bergerak walau pun pada tahap minimum dan pembukaan semula ekonomi adalah satu keperluan, katanya.

“Pembukaan ekonomi telah pun berlangsung. Saya berpandangan ia sepatutnya dilaksanakan lebih awal mengikut prosedur operasi standard yang ada.

“Kesannya, sebagai contoh, kepada perusahaan kecil dan sederhana, andai kata mereka tidak dapat beroperasi dalam tempoh dua hinga tiga minggu atau paling lama enam minggu, mereka tidak akan meraih pendapatan untuk meneruskan perniagaan,” katanya.

Sementara itu, Jomo berkata Malaysia memerlukan satu pendekatan menyeluruh yang melibatkan kesemua kementerian untuk memacu ekonomi dalam situasi pandemik COVID-19.

“Di samping itu, penglibatan rakyat juga amat penting dalam usaha membangunkan ekonomi. Kalau kita hanya mengarahkan rakyat, mereka akan bosan dan tidak menghiraukan apa yang dikehendaki kerajaan,” katanya.

Beliau berkata Malaysia perlu menangani penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja asing menerusi langkah seperti menawarkan permit pekerjaan selama setahun untuk yang tiada dokumen bagi membolehkan mereka menjalani ujian COVID-19 secara sukarela.

“Mereka mesti menjalani ujian wabak ini. Soal bayaran hendaklah ditanggung oleh kerajaan. Tidak perlu membebankan majikan dengan memaksa mereka membayar dalam masa yang singkat Sepatutnya masalah ini ditangani jauh lebih awal.

“Kita harus belajar daripada kesilapan Singapura dalam hal ini. Mereka tidak mengambil berat masalah pekerja asing. Pekerja asing di Singapura mempunyai dokumen tetapi merasa takut untuk ke depan (mendapatkan rawatan) jika dijangkiti (COVID-19),” Jomo.

Sumber: Bernama 

Posted on : 12 May 2020
//
Last Updated : Tuesday 1st December 2020