Pelaburan Yang Diluluskan Dalam Sektor Perkilangan, Perkhidmatan dan Utama Berjumlah RM207.9 Bilion

Malaysia telah mengambil langkah proaktif semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menyeimbangkan kesihatan awam dan kehidupan rakyat serta memperkasakan asas ekonomi dengan memberikan kelulusan kepada syarikat-syarikat di beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi, tertakluk pada pematuhan ketat garis panduan kesihatan dan keselamatan

Kuala Lumpur, 20 April 2020 – Malaysia telah mengambil langkah proaktif semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam menyeimbangkan kesihatan awam dan kehidupan rakyat serta memperkasakan asas ekonomi dengan memberikan kelulusan kepada syarikat-syarikat di beberapa sektor ekonomi untuk beroperasi, tertakluk pada pematuhan ketat garis panduan kesihatan dan keselamatan.

"Meskipun pandemik COVID-19 telah mengubah sistem perindustrian global, MITI komited untuk memastikan agar Malaysia terus kekal sebagai lokasi yang mesra pelabur bagi pertumbuhan jangka panjang perniagaan asing dan domestik. Pelaburan langsung asing (FDI) adalah aliran modal jangka panjang. Kami percaya bahawa syarikat asing yang sedia ada akan terus bertahan dengan cabaran ini dan mengekalkan pelaburan mereka di dalam negara,” kata YB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kanan dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), hari ini.

Di sebalik persekitaran luaran yang mencabar dan aliran masuk FDI global yang menurun, Malaysia kekal berdaya saing dan berjaya menarik sejumlah RM207.9 bilion bagi pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada tahun 2019, peningkatan 1.7 peratus, berbanding tahun 2018. Dengan sumbangan 60.4 peratus (RM125.5 bilion), pelaburan domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan. Walaupun FDI mencapai 39.6 peratus (RM82.4 bilion) dari jumlah tersebut, nilai FDI pada tahun 2019 telah meningkat sebanyak 2.9 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan yang diluluskan pada tahun 2019. Pelaburan yang diluluskan untuk sektor ini juga meningkat 11.3 peratus dari tahun 2018.

Amerika Syarikat (RM26.8 bilion), Republik Rakyat China (RM15.7 bilion) dan Jepun (RM12.1 bilion) menyumbang 66.3 peratus daripada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

Selangor (RM47.8 bilion) mencatatkan pelaburan yang diluluskan tertinggi tahun lalu, diikuti oleh Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion). Keempat-empat negeri ini menyumbang lebih 60 peratus daripada keseluruhan jumlah pelaburan yang diluluskan untuk 2019.

Sektor Perkilangan

Sektor perkilangan Malaysia mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM82.7 bilion bagi 2019. Bilangan projek perkilangan yang diluluskan meningkat 37 peratus daripada 721 projek pada 2018 kepada 988 projek pada tahun 2019. FDI menyumbang 65.2 peratus (RM53.9 bilion) daripada jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, sementara bakinya iaitu 34.8 peratus (RM28.8 bilion) merupakan pelaburan domestik. “Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) telah melaksanakan mekanisme ‘fast-track’ untuk mempercepatkan kelulusan projek. Di dapati bahawa 86.9 peratus projek perkilangan yang diluluskan pada tahun lalu adalah melalui mekanisme ini, ”kata YB Dato’ Seri Azmin.

Sejajar dengan langkah Malaysia menuju ke arah industri berteknologi canggih, projek-projek berintensifkan modal yang melibatkan teknologi maju dan tenaga kerja mahir menguasai landskap perkilangan. Ini diwakili oleh 108 projek yang diluluskan dengan pelaburan RM100 juta dan ke atas, dengan peningkatan sebanyak 33.3 peratus lebih tinggi daripada pada tahun 2018.

Menurut YB Dato’ Seri Azmin, memandangkan sektor perkilangan mempunyai kesan pengganda yang paling ketara terhadap aktiviti dan pertumbuhan negara, ia akan terus menjadi teras ekonomi. Ini termasuk jalinan ‘forward and backward’, pengembangan industri kluster, pemindahan teknologi baharu, dan pengembangan kemahiran, sebagai contoh. Pada tahun 2019, sektor perkilangan merupakan penyumbang kedua tertinggi bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia iaitu sebanyak 22.3 peratus atau RM316 bilion.

Projek perkilangan yang diluluskan tahun lalu bakal mewujudkan pekerjaan baharu untuk lebih 78,000 orang. Dari jumlah tersebut, 35.4 peratus adalah bagi kategori pengurusan, teknikal dan penyeliaan (MTS). Peluang pekerjaan bagi kategori MTS meningkat sebanyak 24 peratus pada 2019.

Secara keseluruhan, projek baharu merangkumi 54.1 peratus dari keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan. Pelaburan asing adalah seimbang di antara projek baharu dan pembesaran atau pelbagaian pada tahun 2019. Sementara itu, pelaburan domestik kebanyakannya tertumpu kepada projek baharu.

Dari segi industri berprestasi tinggi pada tahun 2019, industri elektrik dan elektronik (RM25.7 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM10.8 bilion), teknologi pengangkutan (RM8.0 bilion), produk mineral bukan logam (RM6.9 bilion), serta bahan kimia dan produk kimia (RM4.8 bilion) menyumbang lebih daripada 68 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan tahun lalu. Adalah diperhatikan bahawa pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia, dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, mencatatkan peningkatan 90.2 peratus dari RM21.5 bilion pada 2018 kepada RM40.9 bilion pada tahun 2019.

Republik Rakyat China (RM15.3 bilion) dan Amerika Syarikat (RM14.2 bilion) merupakan dua negara pelabur terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia dan menyumbang 54.7 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor ini. Republik Rakyat China juga merupakan sumber pelaburan asing terbesar dalam sektor perkilangan selama empat tahun berturut-turut. Sangat mengagumkan bahawa pelaburan dalam sektor perkilangan dari Taiwan, Amerika Syarikat dan Singapura untuk 2019 masing-masing meningkat tujuh, empat dan tiga kali ganda.

Sehingga kini, MIDA telah memberikan khidmat fasilitasi kepada 85 syarikat dari China dan juga dari berbagai negara di dunia untuk penempatan semula (‘relocation’) atau penempatan semula (redeployment’) aktiviti ke Malaysia berikutan Perang Perdagangan Amerika Syarikat - China. Dari jumlah tersebut, MIDA telah berjaya menarik sejumlah 32 projek dengan pelaburan berjumlah RM14.0 bilion di mana tujuh projek dengan pelaburan bernilai RM6.22 bilion, sedang dalam proses penilaian.

Selangor (RM17 bilion) merupakan penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk tahun 2019, diikuti oleh Pulau Pinang (RM16.9 bilion), Kedah (RM11.5 bilion) dan Johor (RM11.5 bilion). Keempat-empat negeri ini menerima hampir 70 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di sektor ini tahun lalu.

Penambahan 988 projek perkilangan yang diluluskan pada tahun 2019 menjadikan jumlah keseluruhan projek perkilangan yang diluluskan antara tahun 2015 hingga 2019 kepada 3,809 projek. Kira-kira 73.4 peratus projek ini dengan pelaburan bernilai RM208.5 bilion telah dilaksanakan.

Projek utama yang diluluskan pada tahun lalu termasuk projek oleh Intel yang akan melabur sebanyak RM10 bilion bagi membawa teknologi ‘Advanced Assembly and Test’ terkini ke Malaysia, serta pelaburan oleh syarikat yang berpangkalan di Britain, Smith+Nephew yang akan membangunkan kilang ortopediknya di Pulau Pinang. Produk yang dikeluarkan oleh Smith+Nephew merangkumi implan lutut dan pinggul.

Contoh lain projek berkualiti yang diluluskan pada tahun 2019 adalah pelaburan dari AAC Technologies dari China, penyedia penyelesaian peranti pintar terkemuka di dunia. Syarikat akan menghasilkan acuan ‘front end’ dan komponen yang berkaitan di Johor. Projek bernilai tinggi ini akan mewujudkan peluang penyumberan luar baharu untuk perniagaan dan vendor tempatan serta pekerjaan bernilai tinggi untuk rakyat Malaysia.

Sektor Perkhidmatan

"Sektor perkhidmatan terus menjadi tonggak pertumbuhan ekonomi negara. Kelebihan Malaysia sebagai pusat perniagaan dan pelaburan berjaya menarik 4,087 projek yang diluluskan di sektor perkhidmatan pada tahun 2019 dengan pelaburan sebanyak RM118.1 bilion. Perlu diperhatikan bahawa meskipun sumber domestik menguasai pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan, pelaburan asing telah meningkat sebanyak 53.4 peratus, dari RM16.1 bilion pada 2018 kepada RM24.7 bilion pada tahun 2019,” kata YB Menteri Kanan dan Menteri MITI .

Secara kolektif, lima penyumbang pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM40.9 bilion), utiliti (RM32.6 bilion), pertubuhan global (RM11.8 bilion), perdagangan pengedaran (RM11.7 bilion) dan perkhidmatan sokongan (RM5.7 bilion) mewakili 87.0 peratus atau RM102.7 bilion pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan.

Pelaburan yang diluluskan untuk pertubuhan global menyaksikan peningkatan sebanyak 57.3 peratus. Sebanyak 169 projek yang bercadang untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi serantau atau global telah diluluskan pada tahun lalu. Kegiatan-kegiatan ini dijangka akan menjana pekerjaan baru untuk 884 pekerja berpengetahuan atau berkemahiran tinggi, di samping menempatkan Malaysia ke arah integrasi yang lebih besar di dalam rantaian bekalan global.

"Tahun lalu, projek-projek perkhidmatan yang diluluskan termasuk dua projek teknologi hijau oleh Telekosang Hydro di Sabah, sebuah projek penjagaan kesihatan oleh Daehan Rehabilitation Services di Putrajaya dan sebuah projek hospitaliti oleh Interland Development di Sabah," kata YB Menteri Kanan dan Menteri MITI.

Sektor Utama

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7 bilion pada tahun 2019, berbanding RM10.9 bilion pada tahun 2018. Subsektor perlombongan menerajui sebahagian besar pelaburan di sektor utama iaitu 94.3 peratus daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di dalam sektor ini. Baki pelaburan di sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, yang masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM291.4 juta dan RM135.1 juta.

Bersedia untuk Masa Depan

Malaysia memulakan tahun ini dengan lima projek pembuatan dan perkhidmatan yang diluluskan bernilai RM4.6 bilion. "Keutamaan kini bukan mengenai jumlah pelabur atau nilai pelaburan mutlak tetapi untuk membawa masuk pelaburan bernilai tambah tinggi yang dapat membantu memulihkan ekonomi. Oleh kerana pendekatan perniagaan seperti biasa tidak lagi dapat dipraktikkan dalam persekitaran yang mencabar ini, penyelesaian asas negara untuk membangunkan semula ekonomi adalah dengan menerapkan inisiatif berani untuk memastikan pencapaian yang berkesan. Kerjasama yang lebih erat di antara kerajaan persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan sangat penting dalam memudahcarakan para pelabur dan memastikan pelaksanaan segera projek yang diluluskan. Semua pihak berkepentingan perlu membuat perubahan yang diperlukan dan melaksanakan proses rekayasa semula bagi memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan. Digitalisasi dan automasi pastinya merupakan usaha yang perlu dilaksanakan dalam mengorak langkah ke hadapan,” kata YB Menteri Kanan dan Menteri MITI.

***

Mengenai MIDA

MIDA adalah agensi promosi dan pembangunan pelaburan utama Kerajaan di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyelaras dan menggalakkan pelaburan ke dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Malaysia. Beribu pejabat di Kuala Lumpur Sentral, MIDA mempunyai 12 pejabat wilayah dan 20 pejabat luar negara. MIDA terus menjadi rakan strategik bagi perniagaan dalam merebut peluang yang timbul dari revolusi teknologi pada era masa kini. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari www.mida.gov.my dan ikuti kami di saluran Twitter, Instagram dan Facebook, Linkedin dan Youtube.

Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi:

Pn Zalina Zainol

Pengarah, Bahagian Komunikasi Korporat, MIDA

Tel .: 03-22632437 E-mel: [email protected]

Media Release Investment Performance 2019_FINAL

Media Release Investment Performance 2019_BM_Final

Final Slides AMC 2020

Posted on : 20 April 2020
//
Last Updated : Thursday 22nd October 2020