Logo

Kayu & Produk Kayu dan Perabot & Perlengkapan

​Industri ini terus menjadi penyumbang penting kepada ekonomi Malaysia. Malaysia dibariskan sebagai pengeksport perabot kelapan terbesar di dunia, 80 peratus daripadanya berasaskan kayu. Pasaran utamanya di luar negara ialah AS, EU, Jepun dan Australia. Industri ini terdiri daripada lebih 3,500 syarikat yang kebanyakannya milik tempatan yang tertumpu di Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 6.4 peratus telah ditetapkan oleh Kerajaan untuk eksport kayu, yang dianggarkan bernilai RM53 bilion menjelang 2020. Pada tahun 2017, Malaysia mengeksport kayu dan produk kayu bernilai RM23.2 bilion, terutamanya produk perabot dan panel, seperti papan gentian kepadatan sederhana (MDF) dan papan lapis. Walaupun automasi dan Industri 4.0 di sektor ini adalah agak perlahan untuk dilaksanakan, pengeluar Malaysia telah mula meningkatkan perbelanjaan modal untuk pelaburan teknologi.

Industri kayu & produk kayu dan perabot & kelengkapan telah bergerak ke atas dalam rantaian nilai, daripada kebanyakannya menumpukan kepada aktiviti pemprosesan utama dan pengeluaran produk generik. Syarikat tempatan sekarang sedang membezakan diri mereka, dengan menjadi Pengilang Reka Bentuk Asal (ODM) dan Pengilang Jenama Asal (OBM), menghasilkan perabot bernilai ditambah tinggi dengan estetika reka bentuk yang kreatif dan unik. Ini membolehkan syarikat Malaysia terus bangkit menyahut cabaran persaingan global yang sengit.

Ketika permintaan dunia untuk produk-produk yang mampan dan mesra alam semakin meningkat, industry ini akan memfokus kepada pelaburan dalam R&D, dan inovasi produk baru bagi memenuhi pasaran pengguna yang pesat berkembang dalam produk hijau dan mesra alam, terutamanya di Eropah dan lain-lain Negara Dunia Pertama.

Industri perabot Malaysia mempunyai banyak kelebihan dalam kreativiti dan reka bentuk produk. Dari perabot biasa ke barangan berjenama, kepelbagaian reka bentuk yang pereka perabot Malaysia hasilkan menarik minat mereka yang amat cekap dan berpengalaman dari kalangan pengumpul dan penghias tema.

Bidang inovasi yang berpotensi adalah penubuhan hab perabot berpusat, di mana semua aktiviti berkaitan industri, termasuk mereka bentuk dan latihan, ditempatkan di satu lokasi untuk kemudahan semua pemain industri. Insentif boleh juga diberikan kepada syarikat yang menerima pakai teknologi baharu seperti automasi dan pemodenan, sebagai persediaan untuk Industri 4.0. Usaha-usaha ini bertujuan untuk mempercepatkan pencapaian Dasar Perindustrian Kayu Negara (NATIP) menjelang 2020.

Bakal pelabur ke dalam industri ini boleh mengambil kesempatan daripada insentif Elaun Modal Automasi (ACA). MIDA telah menjalankan beberapa program kesedaran mengenai insentif ACA di Batu Pahat dan Muar pada tahun 2017, dan kedua-duanya telah menyumbang lebih daripada 70 peratus eksport perabot Malaysia.

woodbm2

Sebelumnya

Farmaseutikal

Produk Petroleum termasuk Petrokimia

Tarikh Dikemaskini : Rabu 21 Ogos 2019