TERKINI
Logo

Persekitaran Perniagaan Cergas

Ekonomi berorientasi eksport Malaysia, dasar-dasar sokongan kerajaan dan komuniti perniagaan tempatan yang besar dan bersedia untuk menjalinkan usaha perniagaan dengan syarikat-syarikat antarabangsa telah menjadikan Malaysia sebuah pangkalan pengilangan dan eksport yang sangat kompetitif.

Sebuah ekonomi berorientasi eksport dan dasar-dasar kerajaan yang menyediakan perniagaan-perniagaan dengan peluang-peluang untuk berkembang dan meraih keuntungan telah menjadikan Malaysia sebuah pangkalan pengilangan dan eksport yang amat kompetitif. Anjakan pantas Malaysia ke arah k-ekonomi membolehkan syarikat-syarikat menjalankan perniagaan dalam satu persekitaran yang menjurus kepada teknologi maklumat.

Salah satu faktor tarikan utama Malaysia adalah tenaga pekerjanya yang muda, terdidik dan boleh dilatih. Ramai graduan Malaysia yang telah dilatih di seberang laut dalam bidang-bidang seperti kejuruteraan dan perakaunan, membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan mudah kepada persekitaran korporat antarabangsa. Bahasa Inggeris digunakan dengan meluas di Malaysia, terutama dalam perniagaan dan dengan itu memudahkan komunikasi pelabur dengan kakitangan-kakitangan dan pembekal-pembekal tempatan.

Amalan-amalan perundangan dan perakaunan negara yang diperolehi daripada sistem British diketahui kebanyakan syarikat-syarikat antarabangsa. Selain itu, Malaysia mengekalkan kedudukannya sebagai negara destinasi ketiga terbaik dunia bagi aktiviti-aktiviti penyumberan luar, selepas India dan China, menurut Indeks Lokasi Perkhidmatan Global A. T. Kearney 2010 (GLSI).


Dewan-Dewan Perniagaan dan Industri

Pendatang-pendatang baru ke senario perniagaan Malaysia akan merasa selesa dengan kewujudan berbagai dewan perniagaan dan persatuan perdagangan yang terdiri daripada syarikat-syarikat dari negara-negara yang berbeza. Pertubuhan-pertubuhan ini merupakan sumber-sumber tidak ternilai bagi mendapatkan maklumat-maklumat perniagaan am, khidmat nasihat dan bantuan, dan melengkapkan peranan agensi-agensi kerajaan seperti MIDA.

Pertubuhan-pertubuhan utama, adalah Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (JACTIM), dan Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (AMCHAM), serta beberapa persatuan perdagangan seperti Kumpulan Industri Elektronik Malaysia-Amerika (MAEI).


Kemudahan-Kemudahan Kewangan Maju

Kewujudan sebuah sektor kewangan dan perbankan yang maju telah meningkatkan kedudukan Malaysia sebagai pangkalan eksport yang dinamik di Asia. Kemudahan-kemudahan kewangan yang canggih tersedia melalui bank-bank perdagangan tempatan dan asing dan rangkaian cawangan mereka di serata negara.

Terdapat juga pejabat-pejabat perwakilan beberapa bank asing yang telah bertapak di rantau ini. Bank-bank perdagangan, pelaburan dan Islam adalah sumber-sumber utama bagi menyokong aktiviti-aktiviti ekonomi di Malaysia.

Institusi-institusi perantara kewangan bukan bank, yang terdiri daripada kumpulan wang simpanan dan pencen, syarikat-syarikat insurans, dan syarikat-syarikat takaful melengkapkan institusi-institusi perbankan bagi mengumpul simpanan dan memenuhi keperluan kewangan ekonomi.

Malaysia juga muncul di barisan hadapan dalam pembangunan kewangan Islam dan mempunyai sistem kewangan Islam yang lengkap dan cergas yang termasuk Perbankan Islam, Pasaran Modal Islam, Takaful dan Takaful Semula, dan Pasaran Wang Antara Bank Islam.

Pengeksport-pengeksport juga boleh menggunakan kemudahan-kemudahan kredit, liputan dan jaminan-jaminan insurans eksport yang ditawarkan oleh Bank Export-Import Malaysia Berhad (EXIM Bank). Bagi melengkapkan sistem kewangan Malaysia, kerajaan telah menubuhkan Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC) di pulau Labuan di sebelah pantai barat laut Borneo.

Syarikat-syarikat di Labuan menikmati cukai-cukai rendah serta kerahsiaan. Setakat ini, lebih 2,700 syarikat luar pesisir telah memulakan operasi di Labuan. Ia termasuk bank-bank luar pesisir, syarikat-syarikat amanah, dan syarikat-syarikat insurans dan berkaitan insurans. Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) adalah sebuah badan sehenti yang meneraju dan menyelaras pembangunan Labuan IBFC.


Vendor-Vendor Tempatan

Sepanjang tiga dekad yang lampau, Malaysia telah membangunkan sekumpulan besar industri-industri sampingan dan sokongan yang bermula dengan kemasukan syarikat-syarikat multinasional ke negara ini. Syarikat-syarikat multinasional ini, terutama yang menjalankan dengan aktif program-program pembangunan vendor, telah banyak menyumbang kepada pembangunan industri-industri kecil dan sederhana tempatan yang sangat cekap dan kompetitif yang mana sebahagian daripada mereka telah menembusi pasaran-pasaran eksport.


Rakan-Rakan Usahasama di Malaysia

Kebanyakan syarikat-syarikat besar Malaysia terlibat dalam perdagangan dan industri sejak bergenerasi, dan sebilangan besar telah mencapai kecemerlangan di pasaran-pasaran antarabangsa dan serantau. Justeru itu, para pelabur asing yang mencari rakan-rakan usahasama di Malaysia boleh memilih daripada berbagai-bagai syarikat berkenaan untuk mencari yang sepadan dengan keperluan mereka. MIDA juga membantu para pelabur asing dalam pemadanan perniagaan untuk memulakan projek-projek usahasama atau untuk menjalankan pengilangan kontrak.

Sebelumnya

Kemajuan Infrastruktur

Tenaga Kerja Berpendidikan

Seterusnya

Kualiti Kehidupan

Kedudukan Daya Saing

Tarikh Dikemaskini : Isnin 21 Mei 2018