Logo

Memulakan Perniagaan

1 Kelulusan Projek Perkilangan
Akta Penyelarasan Perindustrian, 1975

Akta Penyelarasan Perindustrian 1975 (ICA) diperkenalkan dengan tujuan untuk mengekalkan pembangunan dan pertumbuhan yang teratur dalam sektor perkilangan negara ini.

Di bawah Akta ini, syarikat-syarikat perkilangan yang mempunyai dana pemegang saham RM2.5 juta ke atas atau menggaji 75 atau lebih pekerja sepenuh masa dikehendaki memohon lesen pengilang untuk kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Permohonan bagi lesen pengilang hendaklah dikemukakan kepada Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), sebuah agensi di bawah MITI yang diberi tugasan menggalak dan menyelaraskan pembangunan perindustrian di Malaysia.

ICA mentakrifkan:
  • “Aktiviti Pengilangan” bermaksud membuat, mengubah, mengadun, menghias, memperkemas atau dengan cara lain merawat atau menyesuaikan apa sahaja barang atau benda bertujuan untuk pengunaan, penjualan, pengangkutan, penyampaian atau pelupusannya; dan termasuk pemasangan bahagian-bahagian dan pembaikan kapal tetapi tidak termasuk mana-mana aktiviti yang biasanya berkaitan dengan perdagangan jual runcit atau jual borong.
  • “Dana Pemegang Saham” bermaksud jumlah agregat modal berbayar, rizab, baki akaun premium saham dan baki akaun untung rugi sebuah syarikat yang mana:
    • Modal berbayar mestilah dalam bentuk saham keutamaan dan saham biasa dan tidak termasuk sebarang jumlah dalam bentuk saham bonus yang diterbitkan daripada rizab modal yang diwujudkan melalui penilaian semula aset tetap.
    • Rizab mestilah rizab selain daripada rizab modal yang diwujudkan melalui penilaian semula aset tetap dan peruntukan susut nilai, pembaharuan atau penggantian dan penurunan nilai aset.
    • Baki akaun premium saham mestilah tidak termasuk sebarang jumlah yang dikreditkan semasa penerbitan saham bonus pada premium daripada rizab modal yang diwujudkan melalui penilaian semula aset tetap.
  • “Pekerja sepenuh masa” bermaksud semua orang yang biasanya bekerja dalam sebuah syarikat selama sekurang-kurangnya enam jam sehari dan sekurang-kurangnya 20 hari sebulan untuk 12 bulan sepanjang tahun dan menerima gaji.

Ini termasuk jurujual kembara, kakitangan-kakitangan kejuruteraan, penyenggaraan dan pembaikan yang dibayar gaji dan di bawah kawalan syarikat berkenaan.

Ia juga termasuk pengarah-pengarah syarikat yang diperbadankan kecuali mereka yang dibayar hanya untuk menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah. Takrif ini juga merangkumi pekerja-pekerja ahli keluarga yang menerima gaji atau elaun berkala dan menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau tabung pesaraan lain.

Garis panduan bagi Kelulusan Projek Perindustrian

Garis panduan kerajaan bagi kelulusan projek-projek perindustrian di Malaysia adalah berdasarkan Nisbah Pelaburan Modal bagi Setiap Pekerja (Capital Investment Per Employee- CIPE). Projek-projek yang mana nisbah mereka kurang daripada RM55,000 dikategorikan sebagai projek berintensifkan pekerja dan dengan itu tidak layak diluluskan lesen pengilang atau insentif cukai. Bagaimanapun, projek itu akan dikecualikan daripada garis panduan di atas sekiranya memenuhi salah satu kriteria berikut:

  • Nilai ditambah sebanyak 30% atau lebih
  • Indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan sebanyak 15% atau lebih
  • Projek mengusahakan aktiviti-aktiviti digalakkan atau mengeluarkan produk-produk seperti tersenarai dalam Senarai Aktiviti dan Produk untuk Syarikat Teknologi Tinggi
  • Syarikat-syarikat sedia ada (dahulu dikecualikan) yang memohon lesen pengilang
Pembesaran Kapasiti dan Pempelbagaian Produk

Sebuah syarikat berlesen yang berhasrat untuk membesarkan kapasiti atau mempelbagaikan produk dengan mengeluarkan produk tambahan perlu memohon kepada MIDA.

2 Pemerbadanan Syarikat
Kaedah Menjalankan Perniagaan di Malaysia

Di Malaysia, sebuah syarikat boleh diusahakan:

  1. Oleh seorang individu selaku pemilikan tunggal, atau
  2. Oleh dua orang atau lebih (tetapi tidak melebihi 20 orang) dalam perkongsian, atau
  3. Oleh sebuah syarikat tempatan yang diperbadankan atau oleh syarikat asing yang berdaftar di bawah peruntukan Akta Syarikat 1965.

Semua pemilikan tunggal dan perkongsian di Malaysia mestilah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan, 1956. Bagi perkongsian, rakan kongsi bersama dan berasingan menanggung hutang-piutang dan tanggungjawab perkongsian itu seandainya aset syarikat tidak mencukupi. Satu surat ikatan perkongsian rasmi boleh disediakan untuk menetapkan hak dan tanggungjawab setiap rakan kongsi tetapi ini tidak diwajibkan.

Struktur Syarikat

Akta Syarikat, 1965 mentadbir urus semua syarikat di Malaysia. Akta itu menetapkan bahawa sebuah syarikat mestilah berdaftar dengan SSM sebelum menjalankan sebarang aktiviti perniagaan.

Terdapat tiga (3) jenis syarikat yang boleh diperbadankan di bawah Akta Syarikat, 1965:

  1. Sebuah syarikat berhad menurut saham adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan berdasarkan prinsip yang mana liabiliti ahli-ahlinya terhad oleh memorandum persatuan setakat jumlah, jika ada, yang belum dijelaskan bagi saham-saham yang dibeli oleh mereka.
  2. Dalam sebuah syarikat berhad menurut jaminan, liabiliti ahli-ahlinya terhad oleh Memorandum dan Tataurusan Persatuan setakat jumlah yang mana ahli-ahlinya telah memberi jaminan untuk menyumbang kepada aset-aset syarikat seandainya syarikat gulung tikar.
  3. Sebuah syarikat tidak terhad adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan berdasarkan prinsip tidak mempunyai had yang ditetapkan ke atas liabiliti ahli-ahlinya.

Syarikat Berhad Menurut Saham

Struktur syarikat yang lazim di Malaysia adalah syarikat berhad menurut saham. Syarikat itu boleh ditubuhkan sama ada sebagai sebuah Syarikat Sendirian Berhad (dikenalpasti dengan perkataan “Sendirian Berhad” atau “Sdn. Bhd.”) sebagai sebahagian nama syarikat atau sebuah Syarikat Awam (dikenalpasti dengan perkataan “Berhad” atau “Bhd.”) sebagai sebahagian nama syarikat.

Sebuah syarikat yang mempunyai modal saham boleh diperbadankan sebagai sebuah syarikat sendirian sekiranya Memorandum dan Tataurusan Persatuannya:

  1. Membatas hak memindah milik sahamnya.
  2. Menghad bilangan ahlinya kepada 50, tidak termasuk pekerja syarikat itu atau anak syarikatnya, dan sesetengah bekas pekerja syarikat itu atau anak syarikatnya.
  3. Melarang sebarang pelawaan kepada pihak awam untuk memohon beli saham dan debenturnya
  4. Melarang sebarang pelawaan kepada pihak awam untuk mendeposit wang dengan syarikat itu bagi tempoh tetap untuk mengeluarkan bayaran apabila diperlukan, sama ada dengan faedah atau tanpa faedah.

Sebuah syarikat awam boleh dibentuk atau, sebagai alternatif, sebuah syarikat sendirian boleh ditukar menjadi sebuah syarikat awam tertakluk kepada Seksyen 26 Akta Syarikat, 1965. Syarikat itu boleh menawarkan sahamnya kepada pihak awam dengan syarat:

  1. Ia telah mendaftar satu prospektus dengan Suruhanjaya Sekuriti
  2. Ia telah serah simpan satu salinan prospektus itu dengan SSM pada atau sebelum tarikh terbitannya.

Sebuah syarikat awam boleh memohon supaya sebut harga sahamnya dipaparkan di Bursa Malaysia dengan syarat ia mematuhi keperluan yang ditetapkan oleh Bursa tersebut. Sebarang terbitan sekuriti berikutnya (misalnya terbitan secara hak atau bonus, atau terbitan berpunca daripada pengambilalihan, dan lain-lain) memerlukan kelulusan Suruhanjaya Sekuriti.

Prosedur Pemerbadanan

Bagi menubuhkan sebuah syarikat, permohonan mestilah dikemukakan kepada SSM dengan menggunakan Borang 13A dan disertakan bayaran sebanyak RM30 (bagi setiap nama yang dipohon) untuk menentukan sama ada nama yang dicadangkan bagi syarikat berkenaan boleh digunakan. Permohonan akan diluluskan sekiranya nama berkenaan boleh digunakan dan nama yang dicadangkan akan dirizab selama tiga bulan.

Dokumen pemerbadanan berikut hendaklah diserah simpan kepada SSM dalam tempoh tiga bulan dari tarikh kelulusan nama syarikat:

  1. Memorandum dan Tataurusan Persatuan
  2. Akuan Pematuhan (Borang 6)
  3. Akuan Berkanun oleh seorang sebelum dilantik sebagai pengarah, atau oleh seorang pengasas sebelum pemerbadanan syarikat (Borang 48A)
  4. Dokumen tambahan yang termasuk:
    • Borang 13A yang asal
    • Satu salinan surat daripada SSM yang meluluskan nama syarikat
    • Satu salinan kad pengenalan setiap pengarah dan setiausaha syarikat atau satu salinan pasport jika seorang pengarah asing dilantik.

Memorandum Persatuan mendokumenkan nama syarikat, objektif, jumlah modal dibenarkan (jika ada) yang dicadangkan untuk pendaftaran dan pembahagiannya kepada saham-saham jumlah tetap.

Tataurusan Persatuan menghuraikan peraturan yang mentadbir urus pengurusan dalaman hal ehwal syarikat dan perjalanan perniagaannya. Setelah Sijil Pemerbadanan dikeluarkan, syarikat berkenaan akan menjadi sebuah badan korporat, berupaya melaksanakan fungsi sebuah badan diperbadankan dan boleh mendakwa dan didakwa. Ia adalah kekal turun temurun di bawah meterai perbadanannya dengan kuasa untuk memiliki tanah, tetapi ahli-ahlinya mempunyai liabiliti untuk menyumbang kepada aset-aset sekiranya syarikat gulung tikar, seperti diperuntukkan di bawah Akta Syarikat, 1965.

Pada masa ini, pemerbadanan syarikat-syarikat tempatan boleh diselesaikan dalam tempoh sehari (1) dengan adanya kaunter interaktif tunggal yang diperkenalkan sejak 1 April 2010. SSM berjanji memproses, melulus dan mendaftar permohonan yang lengkap secara cepat dan cekap dalam tempoh yang dinyatakan seperti berikut:

SSM's Client Charter as at 1 April 2010
Aktiviti Pendaftaran Syarikat Tempoh
Pemerbadanan syarikat 1 hari
Pertukaran taraf 1 hari
Pertukaran nama syarikat 1 hari
Permulaan perniagaan syarikat awam 1 hari
Pendaftaran gadaian 2 hari
Kelulusan surat ikatan amanah 5 hari
Pendaftaran prospectus 3 hari
Salinan dokumen syarikat yang tidak disahkan 30 mins
Salinan dokumen syarikat yang disahkan 1 jam

* Permohonan untuk kelulusan nama syarikat sahaja, boleh dilakukan tanpa memperbadankan syarikat.

** Tempoh yang diambil bermula dari masa bayaran diterima sehingga sijil diserahkan.

Keperluan bagi Syarikat Tempatan Yang Diperbadankan

Sebuah syarikat mestilah mengekalkan sebuah pejabat berdaftar di Malaysia di mana semua buku dan dokumen yang diperlukan di bawah peruntukan Akta disimpan. Nama syarikat hendaklah diperagakan dalam huruf abjad Roman yang mudah dibaca, bersama-sama nombor syarikat, pada meterai dan dokumen syarikat.

Sebuah syarikat tidak dibenarkan berurus niaga dalam sahamnya sendiri atau memegang saham dalam syarikat induknya. Setiap saham ekuiti sebuah syarikat awam melayakkan hanya satu undi dalam pengundian pada mana-mana mesyuarat agung syarikat. Bagaimanapun, sebuah syarikat persendirian boleh memperuntukkan hak undi berbeza bagi pemegang-pemegang sahamnya.

Setiausaha sebuah syarikat mestilah seorang yang benar, cukup umur dan mempunyai tempat bermastautin utama atau alamat kediaman hanya di Malaysia. Beliau mestilah menjadi ahli kepada sebuah badan yang ditetapkan atau dilesenkan oleh Pendaftar Syarikat. Syarikat juga mestilah melantik juruaudit syarikat beriktiraf sebagai juruaudit syarikatnya di Malaysia.

Selain itu, syarikat hendaklah mempunyai sekurang-kurangnya dua orang pengarah yang mempunyai tempat bermastautin utama atau alamat kediaman hanya di Malaysia. Pengarah syarikat awam atau anak syarikat kepada syarikat awam lazimnya mestilah tidak melebihi usia 70 tahun. Seorang pengarah syarikat tidak semestinya menjadi seorang pemegang saham syarikat.

Pendaftaran Syarikat Asing

Sebuah syarikat asing boleh menjalankan perniagaan di Malaysia sama ada melalui:

  1. pemerbadanan sebuah syarikat tempatan; atau
  2. mendaftarkan sebuah cawangan di Malaysia.

Sebuah syarikat asing ditakrifkan di bawah Akta Syarikat, 1965 sebagai:

  1. sebuah syarikat, perbadanan, kesatuan, persatuan atau badan-badan lain yang diperbadankan diluar negara.
  2. sebuah kesatuan, persatuan atau badan-badan lain yang tidak diperbadankan yang mana di bawah undang-undang tempat asalnya boleh mendakwa atau didakwa, atau memiliki hartanah di atas nama setiausahanya atau pegawai lain dalam badan atau persatuan itu yang dilantik khas untuk tujuan tersebut dan yang mana tidak mempunyai ibu pejabat atau tempat utama perniagaan di Malaysia.

Prosedur Pendaftaran

  1. Pemohon mestilah terlebih dahulu menjalankan carian nama untuk menentukan sama ada nama yang dicadangkan untuk syarikat berkenaan boleh digunakan. Nama yang bakal digunakan untuk mendaftarkan syarikat asing itu hendaklah sama dengan nama yang didaftarkan di negara asal. Pemohonan hendaklah dikemukakan kepada SSM dengan menggunakan Borang 13A beserta bayaran RM30 bagi setiap nama yang dipohon. Apabila nama syarikat yang dicadangkan itu diluluskan oleh SSM, ianya sah untuk selama tiga bulan dari tarkh kelulusan.
  2. Setelah diluluskan, pemohon mestilah menyerah simpan dokumen berikut kepada SSM dalam tempoh tiga bulan dari tarkh kelulusan:
    • Satu salinan sah sijil pemerbadanan atau pendaftaran syarikat asing berkenaan;
    • Satu salinan sah piagam, statut atau Memorandum dan Tataurusan Persatuan syarikat berkenaan atau instrumen-instrumen lain yang mengtakrif perlembagaannya;
    • Borang 79 (Penyata oleh Syarikat Asing yang Memberikan Butiran mengenai Pengarah-pengarah dan Perubahan Butiran). Sekiranya senarai itu termasuk pengarah-pengarah yang bermastautin di Malaysia yang menjadi ahli-ahli lembaga pengarah tempatan syarikat itu, satu memorandum yang menyatakan kuasa-kuasa yang mesti dilaksanakan oleh mereka atau bagi pihak syarikat asing itu mestilah diserah simpan kepada SSM.
    • Satu memorandum perlantikan atau surat kuasa wakil yang memberi kuasa kepada seseorang (mereka) yang bermastautin di Malaysia untuk menerima bagi pihak syarikat asing sebarang notis yang dikehendaki disampaikan kepada syarikat asing itu.
    • Borang 80 (Akuan Berkanun oleh Ejen Syarikat Asing); dan dokumen-dokumen tambahan yang terdiri daripada Borang 13A yang asal serta satu salinan surat daripada SSM yang meluluskan nama syarikat asing itu.

    Nota: Sekiranya mana-mana dokumen pendaftaran yang tersebut di atas menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Malaysia atau Inggeris, satu salinan sah terjemahan dokumen-dokumen berkenaan ke Bahasa Malaysia atau Inggeris diperlukan.

  3. Bayaran pendaftaran hendaklah dilakukan kepada SSM mengikut jadual berikut:
  4. Modal Saham Dibenarkan (RM) Bayaran Dikenakan (RM)
    Sehingga 100,000 1,000
    100,001 - 500,000 3,000
    500,001 - 1,000,000 5,000
    1,000,001 - 5,000,000 8,000
    5,000,001 - 10,000,000 10,000
    10,000,001 - 25,000,000 20,000
    25,000,001 - 50, 000,000 40,000
    50,000,001 - 100,000,000 50,000
    100,000,001 ke atas 70,000

    Bagi menentukan jumlah bayaran pendaftaran, modal saham nominal syarikat asing hendaklah terlebih dahulu ditukarkan ke matawang Malaysia (Ringgit Malaysia) pada kadar pertukaran semasa. Seandainya sebuah syarikat asing tidak mempunyai sebarang modal saham, kadar rata sebanyak RM1,000 hendaklah dibayar kepada SSM.

  5. Satu Sijil Pendaftaran akan dikeluarkan oleh SSM setelah syarikat mematuhi prosedur pendaftaran dan serah simpan dokumen-dokumen pendaftaran yang lengkap.
  6. Setelah diluluskan, syarikat atau ejennya bertanggungjawab bagi memastikan pematuhan kepada Akta Syarikat, 1965. Sebarang perubahan kepada butiran mengenai syarikat atau kepada nama syarikat atau modal saham dibenarkan mestilah difailkan dengan SSM dalam tempoh sebulan dari tarikh perubahan beserta bayaran yang ditetapkan. Setiap syarikat diperlukan untuk menyimpan penyata akaun yang betul. Penyata tahunan mestilah diserah simpan kepada SSM sekali setiap tahun kalender.
  7. Nota: Warga-warga asing dinasihatkan supaya mendapatkan perkhidmatan seorang peguam bela atau peguam cara, seorang akauntan atau seorang setiausaha syarikat bertauliah untuk bantuan selanjutnya.
E-Services

E-Services telah diperkenalkan sebagai satu alternatif kepada kaedah tradisi bagi berurusan dengan SSM, iaitu melalui perkhidmatan kaunter. Ia membolehkan penyerahan simpan dokumen-dokumen (Perkhidmatan e-Lodgement) dan perolehan maklumat korporat perniagaan (Perkhidmatan e-Info). Bayaran boleh dilakukan melalui kad kredit, debit terus atau akaun prabayar.

E-lodgement atau juga dikenali sebagai e-filing membolehkan syarikat, perniagaan atau kakitangan yang dilantik mereka untuk menyerah simpan dokumen-dokumen berkanun yang diperlukan menerusi Internet melalui portal myGovernment/ Public Service Portal (PSP). Manakala, perkhidmatan e-info membolehkan pembelian secara dalam talian maklumat korporat dan perniagaan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web SSM di www.ssm.com.my atau www.ssm.com.my

3 Garis Panduan Dasar Ekuiti
Dasar Ekuiti bagi Sektor Perkilangan

Malaysia sentiasa mengalu-alukan pelaburan dalam sektor perkilangan. Dengan hasrat untuk meningkatkan penyertaan tempatan dalam aktiviti berkenaan, kerajaan menggalakkan usaha sama antara pelabur Malaysia dan asing.

Dasar Ekuiti untuk Projek Baru, Pembesaran atau Pempelbagaian

Sejak Jun 2003, para pelabur asing boleh memegang 100% ekuiti bagi semua pelaburan dalam projek baru serta pelaburan dalam projek pembesaran/pempelbagaian yang dilakukan oleh syarikat sedia ada, tidak kira paras eksport dan tanpa mengecualikan mana-mana produk/aktiviti.

Dasar ekuiti ini juga diguna pakai untuk:

  • Syarikat-syarikat yang dahulunya dikecualikan daripada mendapatkan lesen pengilang tetapi dana pemegang saham mereka kini telah mencecah RM2.5 juta atau kini menggaji 75 atau lebih pekerja sepenuh masa dan dengan demikian perlu dilesenkan.
  • Syarikat-syarikat berlesen sedia ada yang dahulunya dikecualikan daripada mematuhi syarat-syarat ekuiti, tetapi kini perlu mematuhinya kerana dana pemegang saham mereka mencecah RM2.5 juta.

Dasar Ekuiti untuk Syarikat Sedia Ada

Syarat-syarat ekuiti dan eksport yang dikenakan ke atas syarikat-syarikat sebelum 17 Jun 2003 dikekalkan. Bagaimanapun, syarikat-syarikat itu boleh memohon supaya syarat-syarat ini dimansuhkan dan kelulusan akan diberi berdasarkan baik buruknya setiap kes.

Perlindungan bagi Pelaburan Asing

Komitmen Malaysia untuk mewujudkan persekitaran pelaburan selamat telah berjaya meyakinkan lebih 8,000 syarikat antarabangsa dari lebih 40 negara menjadikan Malaysia pangkalan luar pesisir mereka.

Pemilikan Ekuiti

Sebuah syarikat yang mana penyertaan ekuitinya telah diluluskan tidak perlu mengstruktur semula ekuitinya pada bila-bila masa selama mana syarikat itu terus mematuhi syarat-syarat asal kelulusan dan mengekalkan ciri-ciri asal projek.

Perjanjian Jaminan Pelaburan

Kesediaan Malaysia untuk memeterai Perjanjian Jaminan Pelaburan (IGA) membuktikan hasrat kerajaan untuk menambahkan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia. IGA akan:

  • Memberi perlindungan daripada pemiliknegaraan atau ekspropriasi
  • Memastikan pampasan yang segara dan cukup sekiranya berlaku pemiliknegaraan atau ekspropriasi
  • Membolehkan pemindahan bebas keuntungan, modal dan bayaran-bayaran lain
  • Memastikan penyelesaian pertikaian pelaburan di bawah Konvensyen Penyelesaian Pertikaian Pelaburan yang mana Malaysia menjadi anggota sejak 1966.

Malaysia telah memeterai Perjanjian Jaminan Pelaburan dengan kumpulan dan negara berikut (mengikut abjad):

Kumpulan

  • Kesatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN)
  • Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC)

Negara

Albania Ghana Peru
Algeria Guinea Poland
Argentina Hungary Romania
Austria India Saudi Arabia
Bahrain Indonesia Senegal
Bangladesh Iran Slovak, Republic of
Belgo-Luxembourg Italy Spain
Bosnia Herzegovina Jordan Sri Lanka
Bostwana Kazakstan Sudan, Republic of
Burkina Faso Korea, North Sweden
Cambodia Korea, South Switzerland
Canada Kuwait Syarian Arab Republic
Chile, Republic of Kyrgyz, Republic of Taiwan
China, People's Republic of Laos Turkey
Croatia Lebanon Turkmenistan
Cuba Macedonia United Arab Emirates
Czech Republic Malawi United States of America
Denmark Mongolia United Kingdom
Djibouti, Republic of Morocco Uruguay
Egypt Namibia Uzbekistan
Ethiopia, Republic of Netherlands Vietnam
Finland Norway Yemen
France Pakistan Zimbabwe
Germany Papua New Guinea

Konvensyen Penyelesaian Pertikaian Pelaburan

Dengan hasrat untuk menggalakkan dan melindung pelaburan asing, kerajaan Malaysia memeterai peruntukan-peruntukan yang terkandung dalam Konvensyen Penyelesaian Pertikaian Pelaburan pada 1966. Konvensyen ini, yang ditubuhkan di bawah naungan Bank Antarabangsa bagi Pembinaan Semula dan Pembangunan (IBRD), menyediakan jalan pendamaian atau timbangtara antarabangsa menerusi Pusat Antarabangsa bagi Penyelesaian Pertikaian Pelaburan yang bertempat di pejabat utama IBRD di Washington.

Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur

Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur telah ditubuhkan pada 1978 di bawah naungan Pertubuhan Perundingan Perundangan Asia-Afrika (AALCO) – sebuah pertubuhan antara kerajaan yang bekerjasama dan dibantu oleh kerajaan Malaysia.

Sebuah pertubuhan bukan membuat keuntungan, Pusat ini memberi khidmat kepada rantau Asia Pasifik. Ia bermatlamat untuk mengadakan satu sistem bagi menyelesaikan pertikaian yang memberi manfaat kepada kedua belah pihak yang terbabit dalam perdagangan, perniagaan dan pelaburan dengan dan dalam rantau ini.

Sebarang pertikaian, kontroversi atau tuntutan yang berbangkit daripada atau berhubung dengan sesuatu kontrak, atau pelanggaran, penamatan atau ketidaksahan diputuskan secara timbangtara mengikut Undang-Undang Timbangtara yang diguna pakai oleh Pusat Timbangtara Serantau Kuala Lumpur.

Seterusnya

Prosedur Imigresen

Tenaga Kerja Industri

Tarikh Dikemaskini : Jumaat 14 April 2017