Logo

Perlindungan Harta Intelek

1 Perlindungan Harta Intelek

Perlindungan harta intelek di Malasyia terdiri daripada paten, cap dagangan, rekabentuk perindustrian, hak cipta, petunjuk geografi dan rekabentuk susunatur litar bersepadu. Malaysia menjadi anggota kepada Pertubuhan Harta Intelek Sedunia dan penandatangan kepada Konvesyen Paris dan Konvesyen Berne yang mentadbir hak-hak harta intelek ini.

Selain itu, Malaysia juga adalah penandatangan kepada Perjanjian Perdagangan Berkaitan Harta Intelek (TRIPS) yang ditandatangani di bawah naungan Pertubuhan Perdagangan Dunia. Malaysia memberi perlindungan yang memadai kepada kedua-dua pelabur tempatan dan asing. Undang-undang harta intelek Malaysia mematuhi piawaian antarabangsa dan disemak secara berkala oleh Majlis TRIPS.


Paten

Akta Paten 1983 dan Peraturan Paten 1986 mentadbir urus perlindungan paten di Malaysia. Pemohon boleh memfailkan permohonan paten secara terus jika bermastautin atau menetap di Malaysia. Permohonan asing hanya boleh difailkan melalui ejen paten berdaftar di Malaysia yang bertindak bagi pihak pemohon.

Seperti perundangan di negara lain, sesuatu rekacipta boleh dipaten jika ianya baru, membabitkan satu langkah merekacipta dan boleh diaplikasi dalam industri. Selaras dengan TRIPS, Akta Paten menetapkan tempoh perlindungan untuk selama 20 tahun dari tarikh permohonan difailkan. Di bawah Akta ini, sijil inovasi utiliti memberikan tempoh perlindungan permulaan selama 10 tahun dari tarikh permohonan difailkan dan boleh diperbaharui untuk dua tempoh lagi berturut-turut dengan perlindungan tempoh lima tahun setiap kali lanjutan tertakluk kepada penggunaannya. Pemilik paten berhak mengeksploitasikan rekacipta terpaten, menyerah atau memindah hak paten, dan memeterai sebuah kontrak berlesen.

Selaras dengan perjanjian TRIPS, di bawah ruang lingkup lesen wajib, Akta ini membenarkan pengimportan produk terpaten yang telahpun berada dalam pasaran negara-negara lain (pengimportan selari). Pihak Kerajaan boleh melarang pengeksploitasian paten secara perdagangan di atas sebab-sebab ketenteraman awam atau prinsip moral. Akta ini telah dipinda untuk memasukkan peruntukan Perjanjian Kerjasama Paten (PCT) dan untuk membenarkan pengimportan di bawah ruang lingkup lesen wajib.

Malaysia menyertai PCT pada tahun 2006 dan berkuat kuasa dari 16 Ogos 2006, Permohonan Antarabangsa PCT boleh dilakukan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Cap Dagangan

Perlindungan cap dagangan ditadbir urus oleh Akta Cap Dagangan 1976 dan Peraturan Cap Dagangan 1997.

Akta ini memberi perlindungan bagi cap dagangan dan cap perkhidmatan yang berdaftar di Malaysia. Setelah berdaftar, tidak ada sesiapapun atau syarikat selain daripada tuan punya atau pengguna-pengguna yang dibenarkan boleh menggunakannya. Tindakan undang-undang boleh diambil ke atas sesiapa yang mungkin menggunakannya tanpa kebenaran. Tempoh perlindungan adalah sepuluh tahun, yang boleh diperbaharui setiap sepuluh tahun selepas itu. Tuan punya cap dagangan atau cap perkhidmatan diberi hak untuk berurus niaga atau menyerah hak serta melesenkan penggunaannya.

Selaras dengan TRIPS, Malaysia melarang pendaftaran cap dagangan terkenal oleh sesiapa yang tidak dibenarkan dan menyediakan langkah-langkah batasan untuk melarang cap dagangan palsu diimport ke Malaysia.

Malaysia menyertai Perjanjian Nice dan Vienna pada 28 Jun 2007 yang berkuatkuasa pada 28 September 2007. Perjanjian Nice adalah berkaitan dengan Pengelasan Barangan dan Perkhidmatan bagi maksud pendaftaran cap-cap manakala Perjanjian Vienna menubuhkan pengelasan bagi cap-cap yang terdiri daripada atau mengandungi unsur figuratif. Kedua-dua perjanjian adalah penting bagi memudahcara pendaftaran cap dagangan.

Seperti juga paten, pemohon-pemohon tempatan boleh memfailkan permohonan mereka sendiri, manakala pemohon-pemohon asing hendaklah memfailkan permohonan melalui ejen-ejen berdaftar.

Rekabentuk Perindustrian

Perlindungan rekabentuk perindustrian di Malaysia ditadbir urus di bawah Akta Rekabentuk Perindustrian 1996 dan Peraturan Rekabentuk Perindustrian 1999. Akta ini memberi hak kepada rekabentuk perindustrian berdaftar seperti mana harta persendirian yang boleh diserah hak dan dipindah milik dengan cara kuat kuasa undang-undang.

Untuk layak didaftarkan, rekabentuk perindustrian itu mestilah baru dan tidak mengandungi kaedah pembinaan atau rekabentuk yang hanya menekan kepada cara berfungsi sesuatu barang. Selain itu, rekabentuk barang itu mestilah tidak bergantung kepada rupa barang lain yang mana ia menjadi bahagian yang penting.

Pemohon-pemohon tempatan boleh memfailkan pendaftaran sendiri atau melalui ejen-ejen rekabentuk perindustrian berdaftar. Bagaimanapun, pemohon-pemohon asing perlu mendapatkan perkhidmatan ejen-ejen rekabentuk perindustrian berdaftar. Rekabentuk perindustrian berdaftar dilindung untuk tempoh permulaan selama lima tahun yang mana boleh dilanjutkan dua tempoh lagi dengan perlindungan lima tahun setiap kali lanjutan, menjadikan jumlah tempoh perlindungan 15 tahun.

Hak Cipta

Akta Hak Cipta 1987 memberi perlindungan komprehensif untuk karya-karya yang dihak cipta. Akta ini menggariskan jenis karya yang layak untuk dihak cipta (yang termasuk perisian komputer), ruang lingkup perlindungan, dan cara bagaimana perlindungan diberikan. Tiada pendaftaran hak cipta bagi karya-karya.

Perlindungan hak cipta bagi karya-karya sastera, muzik atau seni adalah semasa hayat pencipta dan 50 tahun selepas kematiannya. Bagi karya-karya rakaman bunyi, siaran dan filem, perlindungan hak cipta adalah untuk 50 tahun selepas karya-karya berkenaan diterbitkan.

Akta ini juga memberi perlindungan bagi hak artis-artis dalam persembahan langsung yang mana hak ini terus kekal selama 50 tahun dari permulaan tahun kalender berikut dengan tahun persembahan berkenaan telah diadakan.

Satu ciri unik Akta ini adalah peruntukan yang dimasukkan untuk penguatkuasaannya. Pindaan kepada Akta Hak Cipta 1987, yang berkuat kuasa pada 1 Oktober 2003 memberi kuasa menangkap (termasuk menangkap tanpa waran) kepada pegawai-pegawai penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (yang dahulunya dikenali sebagai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna). Pegawai-pegawai khas Kementerian ini telah dilantik untuk menguatkuasa Akta berkenaan dan diberi kuasa untuk memasuki premis-premis yang disyaki menyimpan salinan langgaran dan menggeledah serta menyita salinan langgaran.

Rekabentuk Susunatur Litar Bersepadu

Akta Rekabentuk Susunatur Litar Bersepadu 2000 memberi perlindungan bagi rekabentuk susunatur litar bersepadu yang asli, hasil usaha intelek penciptanya sendiri dan direka cipta secara bebas. Tiada pendaftaran bagi rekabentuk sususnatur litar bersepadu.

Tempoh perlindungan adalah selama 10 tahun dari tarikh ianya mula-mula dieksploitasikan secara perdagangan atau 15 tahun dari tarikh reka cipta jika tidak diekploitasikan secara perdagangan. Akta ini juga membenarkan tindakan diambil oleh pemiliknya jika hak-hak berkenaan yang diiktiraf dibawah Akta ini dilanggar. Hak ini boleh dipindah milik sama ada sebahagian daripadanya atau keseluruhannya secara penyerahan hak, lesen, wasiat atau menerusi penguatkuasaan undang-undang.

Akta ini dilaksanakan dengan mematuhi perjanjian TRIPS untuk memberi jaminan kepada para pelabur dalam industri elektronik Malaysia dan untuk memastikan pertumbuhan teknologi di negara ini.

Petunjuk Geografi

Akta Petunjuk Geografi 2000 memberi perlindungan bagi barangan yang berdaftar mengikut nama tempat asal dari mana barangan berkenaan telah dikeluarkan, yang mana kualiti, reputasi dan ciri-ciri lain yang terdapat pada barangan itu disebabkan oleh asal geografi barangan berkenaan. Perlindungan adalah untuk barangan seperti produk-produk semula jadi atau pertanian atau apa-apa keluaran kraftangan atau industri. Petunjuk geografi yang bertentangan dengan ketenteraman awam atau prinsip moral tidak akan dilindung di bawah Akta ini.

Untuk maklumat lanjut mengenai perlindungan harta intelek, sila layari www.myipo.gov.my. http://www.myipo.gov.my.

Sebelumnya

Pengurusan Alam Sekitar

Perbankan dan Kewangan

Seterusnya

Sokongan Infrastruktur

Tarikh Dikemaskini : Jumaat 24 Mac 2017