TERKINI
Logo

Kemajuan Infrastruktur

Ketekunan berterusan Malaysia untuk memaju dan menaik taraf infrastruktur telah menjadikan infrastrukturnya sebagai salah sebuah yang termaju di kalangan negara-negara perindustrian baru di Asia.

Kelebihan terbesar bagi pengilang-pengilang di Malaysia adalah ketekunan negara untuk memaju dan menaik taraf infrastukturnya. Sejak beberapa tahun yang lalu, pelaburan ini telah mendatangkan hasil dan kesesakan-kesesakan yang serius telah dapat ditangani. Kini, Malaysia boleh berbangga dengan memiliki antara infrastruktur yang termaju di kalangan negara-negara perindustrian baru di Asia.

Terkini adalah pembangunan Kuala Lumpur Sentral, sebuah bandaraya masa hadapan yang memiliki segala kemudahan, menyediakan persekitaran tempat tinggal, kerja dan bermain yang sempurna. Ia merupakan sebuah hab pengangkutan moden yang menyepadukan semua rangkaian pengangkutan rel utama, termasuk Rangkaian Rel Ekspres ke KLIA dan Putrajaya, pusat pentadbiran baru kerajaan. Kemudahan-kemudahan pengangkutan yang ditawarkan adalah setanding dengan yang terbaik di serata dunia. Baca lagi


Rangkaian Lebuh Raya

Rangkaian lebuh raya yang disenggara rapi di Semenanjung Malaysia adalah sesuatu yang menyenangkan industri-industri. Lebuh-lebuh raya ini menyambungkan pusat-pusat pertumbuhan utama ke pelabuhan-pelabuhan dan lapangan-lapangan terbang di serata semenanjung dan menyediakan cara yang cekap untuk mengangkut barang-barang. Bagi melengkapkan lebuh-lebuh raya ini, sebuah perkhidmatan kontena Kuala Lumpur- Bangkok- Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Ekspres Rel ASEAN (ARX) telah dimulakan dengan tujuan untuk mengembangkannya menjadi Rangkaian Trans-Asia yang bakal merangkumi Singapura, Vietnam, Kemboja, Laos dan Myanmar sebelum stesen penamat di Kunming, China.


Pelabuhan-Pelabuhan Cekap

Perdagangan antarabangsa, terutama perdagangan laut, secara tradisinya adalah nadi Malaysia. Pada masa ini, lebih 90% daripada perdagangan negara adalah melalui laut menerusi tujuh pelabuhan antarabangsa Malaysia iaitu Pelabuhan Pulau Pinang, Pelabuhan Klang, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Kuantan dan Pelabuhan Kemaman di Semenanjung Malaysia dan Pelabuhan Bintulu di Sarawak. Kesemua pelabuhan ini dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan moden. Pelabuhan Bintulu mengendalikan gas asli cecair.

Sejajar dengan perkembangan ekonomi dan perdagangan, pelabuhan-pelabuhan di negara ini mencatatkan pertumbuhan yang mengkagumkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Dua daripadanya; Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), ditempatkan di kalangan 20 pelabuhan kontena teratas dunia. Pelabuhan Klang telah dijadikan pusat muatan negara dan pusat pindah kapal. Manakala Pelabuhan Tanjung Pelepas telah diiktiraf sebagai hab pindah kapal serantau.


Lapangan-Lapangan Terbang Antarabangsa

Kedudukan Malaysia di tengah-tengah rantau Asia Pasifik menjadikannya pintu masuk yang unggul ke Asia. Kemudahan-kemudahan kargo udara adalah yang termaju di enam lapangan-lapangan terbang antarabangsa – Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai di Semenanjung Malaysia, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu di Sabah, dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di Sarawak.


Taman-Taman Perindustrian Maju

Industri-industri di Malaysia kebanyakannya terletak di dalam lebih 200 kawasan-kaawasan atau taman-taman perindustrian dan 18 Zon-zon Perindustrian Bebas (FIZ) yang dibangunkan di seluruh negara. Tapak-tapak baru, yang dilengkapkan dengan kemudahan-kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air, dan telekomunikasi, terus dibangunkan oleh kerajaan-kerajaan negeri serta pemaju-pemaju swasta untuk memenuhi permintaan.

FIZ adalah zon-zon pemprosesan eksport yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan industri-industri berorientasi eksport. Syarikat-syarikat di FIZ dibenarkan mengimport secara bebas cukai bahan mentah, komponen, bahagian, jentera dan lengkapan yang diperlukan secara langsung dalam proses pengeluaran. Dalam keadaan di mana FIZ tidak dapat dibangunkan, syarikat-syarikat boleh menubuhkan Gudang Pengilangan Berlesen (LMW) yang diberikan kemudahan-kemudahan yang sama seperti yang dinikmati syarikat-syarikat dalam FIZ.


Taman-Taman Khas

Taman-taman khas telah dibangunkan di Malaysia untuk memenuhi keperluan industri-industri tertentu. Contoh-contoh taman seumpama ini adalah Taman Teknologi Malaysia di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Taman Hi-Tech Kulim di negeri Kedah yang menampung industri-industri berintensif teknologi dan aktiviti-aktiviti R&D. Taman Teknologi Malaysia adalah antara pusat-pusat termaju dan lengkap dunia bagi industri-industri berasas pengetahuan menjalankan R&D.

Di utara tanahair terletak Taman Hi-Tech Kulim seluas 1,450 hektar, iaitu taman teknologi tinggi bersepadu penuh pertama negara. Selain menyediakan infrastruktur antara yang terbaik bagi pengilangan teknologi tinggi dan R&D, Pelan Induk Taman ini juga memberi penekanan kepada kualiti kehidupan dalam sebuah bandar yang memiliki segalanya.

Kemudahan-kemudahan yang tersedia dalam pelan berkenaan termasuk sebuah pusat membeli belah, sebuah hospital, institusi-institusi pendidikan dan kemudahan-kemudahan rekreasi.


Telekomunikasi Teknologi Tinggi

Rangkaian telekomunikasi Malaysia telah memperlihatkan perkembangan dan penaikan taraf yang mengkagumkan dalam tempoh satu dekad yang lalu berikutan kejayaan penswastaan Jabatan Telekomunikasi. Teknologi digital dan gentian optik terkini digunakan bagi menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan telekomunikasi kualiti tinggi pada harga-harga kompetitif.

Di bawah Rejim Laluan Samarata, pelanggan-pelanggan telefon di Malaysia boleh memilih daripada lima penyedia perkhidmatan rangkaian bagi berbagai perkhidmatan tempatan, domestik dan antarabangsa yang merangkumi kemudahan-kemudahan suara dan data. Terdapat juga enam penyedia perkhidmatan internet dan lima syarikat telekomunikasi dan perkhidmatan-perkhidmatan kemudahan rangkaian lain yang menyokong berbagai perkhidmatan domestik dan antarabangsa.

Malaysia dihubungkan dengan seluruh dunia yang lain melalui berbagai konsortia optik gentian dan satelit seperti FLAG, SE-MA-WE, APCN, China-US, Japanese-US, Measat dan Intelsat. Bagi menampung permintaan yang semakin bertambah untuk jalur lebar, teknologi-teknologi pertengahan dan tahap tinggi seperti IDSL, IP, VPN dan ATM sedang dipasang secara meluas di seluruh negara.

Sebelumnya

Tenaga Kerja Berpendidikan

Dasar-dasar Sokongan Kerajaan

Seterusnya

Persekitaran Perniagaan yang Cergas

Kualiti Kehidupan

Tarikh Dikemaskini : Rabu 21 Februari 2018