Logo

Perbankan dan Kewangan

1 Sistem Perbankan

Sistem Perbankan Di Malaysia

Sistem perbankan, yang terdiri daripada bank-bank perdagangan, bank-bank saudagar dan syarikat-syarikat kewangan, adalah penggerak utama bagi mengumpul dana-dana dan sumber kewangan penting yang menyokong aktiviti-aktiviti ekonomi di Malaysia. Pengantara-pengantara kewangan bukan bank, yang terdiri daripada institusi-institusi kewangan pembangunan, kumpulan-kumpulan wang simpanan dan pencen, syarikat-syarikat insurans dan pengendali-pengendali takaful, melengkap institusi-institusi perbankan mengumpul simpanan-simpanan bagi memenuhi keperluan kewangan ekonomi.

Bank Pusat

Bank Negara Malaysia, yang merupakan Bank Pusat Malaysia, berada di puncak struktur monetari dan kewangan negara. Objektif utama Bank itu adalah untuk menggalakkan kestabilan monetari dan kestabilan kewangan yang kondusif untuk pertumbuhan mampan ekonomi Malaysia. Fungsi-fungsi utama Bank tersebut seperti yang termaktub di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009 yang baru dikanunkan adalah untuk:

  • membentuk dan melaksanakan dasar monetari di Malaysia;
  • mengeluarkan matawang di Malaysia;
  • mengawal selia dan mengawas institusi-institusi kewangan yang tertakluk kepada undang-undang yang dikuatkuasa oleh Bank berkenaan;
  • menyediakan pengawasan ke atas pasaran-pasaran wang dan pertukaran asing;
  • melaksanakan pengawasan ke atas sistem-sistem penjelasan pembayaran;
  • menggalakkan sebuah sistem kewangan yang teguh, progresif dan tergolong;
  • memegang dan mengurus rizab asing Malaysia;
  • menggalakkan sebuah rejim kadar pertukaran yang selaras dengan asas-asas ekonomi; dan
  • bertindak sebagai penasihat kewangan, jurubank dan agen kewangan Kerajaan.

Bagi mencapai mandat itu, Bank Negara diberi kuasa di bawah pelbagai undang-undang untuk mengawal selia dan menyelia institusi-institusi perbankan dan pengantara-pengantara kewangan bukan bank yang lain. Bank itu juga mentadbir peraturan-peraturan pertukaran asing negara.

Institusi Kewangan

Jadual berikut menunjukkan secara imbas bilangan institusi kewangan setakat hujung Februari 2012:

Jumlah Institusi kawalan Malaysia Institusi kawalan Asing
Bank Perdagangan 25 8 17
Bank Islam 16 10 6
Bank Islam Antarabangsa 5 0 5
Bank Pelaburan 15 15 0
Syarikat Insurans 36 19 17
Syarikat Insurans Islam (Pengendali Takaful) 12 9 3
Pengendali Takaful Antarabangsa 1 0 1
Syarikat Insurans Semula 7 3 4
Syarikat Insurans Semula Islam (Pengendali Takaful Semula) 4 1 3
Institusi kewangan pembangunan 6 6 0

Sistem perbankan, yang merangkumi bank-bank perdagangan, bank-bank pelaburan, dan bank-bank Islam adalah pengumpul primer dana-dana dan sumber utama pembiayaan yang mendokong aktiviti-aktiviti ekonomi di Malaysia. Institusi-institusi perbankan beroperasi menerusi rangkaian lebih daripada 2,000 cawangan merentasi negara. Terdapat juga 14 pejabat perwakilan bank-bank asing di Malaysia yang tidak mengusahakan perniagaan perbankan tetapi menjalankan penyelidikan, perkhidmatan perhubungan dan pertukaran maklumat. Enam kumpulan perbankan Malaysia berada di 19 negara menerusi cawangan-cawangan, pejabat-pejabat perwakilan, anak-anak syarikat, penyertaan ekuiti dan usahasama-usahasama.

Institusi-institusi kewangan bukan bank, iaitu institusi-institusi kewangan pembangunan, syarikat-syarikat insurans dan pengendali-pengendali takaful, melengkapkan institusi-institusi perbankan untuk mengumpul simpanan dan memenuhi keperluan ekonomi negara. Syarikat-syarikat insurans dan insurans semula menjalankan perniagaan insurans nyawa dan umum dan pengendali-pengendali takaful dan takaful semula juga terlibat dalam perniagaan takaful umum dan keluarga. Syarikat-syarikat insurans dan pengendali-pengendali takaful yang beroperasi melalui rangkaian lebih daripada 800 pejabat dan 100,000 ejen berdaftar di seluruh negara menyediakan saluran-saluran bagi pengurusan risiko dan penyelesaian perancangan kewangan bagi perniagaan dan individu.


Industri Perbankan Islam

Kewangan Islam di Malaysia terus menunjukkan pertumbuhan yang dinamik dengan sistem kewangan Islam komprehensif yang disokong oleh kerangka kerja tadbir urus pengawalan, perundangan dan Shariah yang tegap, penggiat-penggiat yang ramai serta bakat dan kepakaran yang diperlukan.

Sistem kewangan Islam merangkumi empat komponen utama, iaitu perbankan Islam, takaful dan takaful semula, pasaran wang antara bank Islam dan pasaran modal Islam. Pengembangan kewangan Islam banyak didorong oleh 56 institusi semasa yang menawarkan perkhidmatan-pekhidmatan kewangan Islam. Sehingga Disember 2011, aset-aset perbankan Islam Malaysia mencecah RM334.9 bilion dengan bahagian pasaran sebanyak 22.4% dan mencatatkan kadar pertumbuhan sebanyak 16.07% bagi tempoh 2002 hingga 2011. Bagi industri takaful, jumlah aset mencecah RM17 bilion dengan bahagian pasaran sebanyak 8.89% dan kadar pertumbuhan purata sebanyak 20.1%. Pasaran modal Malaysia juga telah mencatatkan jumlah sukuk tak lunas sebanyak RM200 bilion sehingga September 2011, mengatasi bon kovensional tak lunas dengan 58% bahagian pasaran.

Sehingga ini, terdapat lebih daripada 100 produk dan perkhidmatan perbankan Islam yang ditawarkan dalam industri ini. Produk-produk inovatif dan instrumen-instrumen kewangan yang selari dengan prinsip-prinsip Shariah global telah diterbitkan di pasaran dunia. Sebagai misalan ialah sukuk pelbagai matawang, dengan terbitan-terbitan denominasi Dolar AS, Dolar Singapura dan Renmimbi yang telah berjaya menarik para pelabur antarabangsa. Malaysia telah berkembang menjadi sebuah pasaran sukuk pelbagai matawang, di mana semakin banyak terbitan-terbitan dilakukan di Malaysia, sekali gus meletakkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran kedua terbesar dari segi sukuk denominasi Dolar AS di dunia, menyumbang 14.5% kepada bahagian pasaran.


Institusi Kewangan Pembangunan

Institusi-institusi Kewangan Pembangunan (Development Financial Institution atau DFI) di Malaysia adalah institusi-institusi kewangan khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan dengan mandat khusus untuk membangun dan menggalakkan sektor-sektor utama yang dianggap penting secara strategik kepada matlamat-matlamat menyeluruh pembangunan sosio-ekonomi negara. Sektor-sektor strategik itu termasuk pertanian, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), infrastruktur, maritim dan sektor-sektor berorientasikan eksport, serta industri-industri berintensif modal dan teknologi tinggi.

Sebagai institusi-institusi khas, DFI menyediakan berbagai produk dan perkhidmatan kewangan khusus yang sesuai dengan keperluan spesifik sektor-sektor strategik yang disasarkan. Perkhidmatan-perkhidmatan sampingan dalam bentuk perkhidmatan-perkhidmatan rundingan dan nasihat juga disediakan oleh DFI bagi mengasuh dan membangunkan sektor-sektor yang dikenal pasti. Dengan itu, DFI melengkapkan institusi-institusi perbankan dan bertindak sebagai saluran strategik bagi menyambungkan jurang bekalan produk dan perkhidmatan kewangan ke bidang-bidang strategik yang dikenal pasti untuk tujuan pembangunan ekonomi jangka panjang.

Pada 2002 Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 (DFIA) telah digubal bagi menggalakkan kesempurnaan kewangan dan operasi DFI melalui amalan-amalan lestari dan kerangka kerja pengawalan dan penyeliaan yang diperlukan, dan memastikan institusi-institusi ini melaksanakan peranan-peranan yang dimandatkan secara berhemat, cekap dan berkesan. Dengan penggubalan DFIA, Bank Negara telah dilantik sebagai badan pengawal dan penyelia pusat bagi DFI. Sebagai sebahagian daripada kerangka kerja pengawalan dan penyeliaan ini, Bank Negara memantau aktiviti-aktiviti dan prestasi kewangan DFI untuk memastikan mereka melaksanakan peranan-peranan yang dimandatkan dengan cara berhemat dan disokong oleh amalan-amalan tadbir urus korporat yang kukuh dan terbaik.

Pada Disember 2011, enam DFI telah dilantik sebagai institusi-institusi ditetapkan di bawah subseksyen 2 (1) DFIA; iaitu Bank Perusahaan Kecil dan Sederhana atau SME Bank, yang menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pembiayaan dan nasihat kepada enterpris saiz kecil dan sederhana yang terlibat dalam sektor-sektor perkilangan, perkhidmatan dan pembinaan; Bank Pembangunan Malaysia Berhad, yang menyediakan pembiayaan jangka sederhana dan panjang bagi projek-projek infrastruktur, maritim, industri-industri berintensif modal dan teknologi tinggi dalam sektor perkilangan dan sektor-sektor lain yang terpilih selaras dengan dasar pembangunan negara; Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, sebuah bank koperasi yang menggalakkan simpanan dan menyediakan perkhidmatan pembiayaan kepada ahli-ahli dan bukan ahli; Export-Import Bank of Malaysia Berhad atau EXIM Bank, yang menyediakan kemudahan-kemudahan kredit bagi membiayai dan menyokong eksport dan import barangan dan projek-projek di seberang laut serta menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan insurans kredit eksport dan kemudahan-kemudahan jaminan; Bank Simpanan Nasional memfokus kepada perbankan runcit dan pembiayaan perseorangan, terutamanya untuk penyimpan kecil, dan menyokong agenda pembiayaan inklusif dengan menyediakan pembiayaan mikro dan perkhidmatan-perkhidmatan ejen perbankan; dan Bank Pertanian Malaysia Berhad atau Agrobank, yang menerima deposit simpanan dan menyediakan perkhidmatan-pekhidmatan pembiayaan dan nasihat bagi menyokong pembangunan sektor dan komuniti pertanian.

Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia

Pada Ogos 2006, inisiatif Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia (Malaysia International Islamic Financial Centre atau MIFC) telah dilancarkan untuk menempatkan Malaysia sebagai hab antarabangsa bagi Kewangan Islam dan untuk mengukuhkan peranan negara sebagai epipusat intelek bagi kewangan Islam.

Inisiatif MIFC ini terdiri daripada satu rangkaian komuniti badan-badan pengawalan kewangan dan pasaran, kementerian-kementerian dan agensi-agensi Kerajaan, institusi-institusi kewangan, institusi-institusi pembangunan modal insan dan syarikat-syarikat perkhidmatan profesional yang menyertai bidang kewangan Islam.

Inisiatif MIFC ini disokong oleh amalan-amalan terbaik perundangan, pengawalan dan Shariah antarabangsa yang membolehkan penggiat-penggiat industri menjalankan perniagaan kewangan Islam di serata Malaysia, disamping menikmati insentif-insentif menarik di dalam persekitaran yang mesra.

Sebagai sebuah destinasi pelaburan kewangan, Malaysia menawarkan satu platform dan pintu masuk bagi peluang-peluang pelaburan mematuhi Shariah secara global menerusi inisiatif MIFC. Malaysia menawarkan perhubungan ke setiap segmen industri mematuhi Shariah negara ini dengan usul-usul dan peluang-peluang menarik bagi institusi-institusi, bakat-bakat, pelabur-pelabur dan penerbit-penerbit.

Malaysia berada dalam kedudukan yang begitu baik untuk bertindak sebagai pintu masuk bagi memudahcara dan meningkatkan lagi pertalian hubungan dan penyepaduan pasaran antarabangsa dalam kewangan Islam antara rantau Asia dan bahagian dunia yang lain. Dengan kedudukannya di tengah-tengah zon masa Asia, Malaysia merupakan satu platform pertemuan bagi mereka yang mempunyai dana-dana lebihan dan mereka yang mencari-cari untuk mengumpul dana-dana dari mana-mana pelusuk dunia.

Malaysia mempelawa pakar-pakar, penggiat-penggiat terkemuka, pelabur-pelabur dan penerbit-penerbit global dan mereka yang seumpamanya untuk bersama-sama membentuk masa hadapan kewangan Islam menerusi inisiatif Malaysia, mengumpil dan mengambil manfaat daripada pengalaman lebih 30 tahun Malaysia dalam kewangan Islam, dalam satu persekitaran kepimpinan inovasi dan pemikiran.


Inisiatif MIFC bertujuan meletakkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam melalui lima bidang teras:

  • Pengasalan Sukuk
    • Sebuah platform bagi agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat multinasional dan bank-bank pembangunan berbagai hala dan institusi-institusi di seluruh dunia mengasalkan sukuk ke luar Malaysia . Sukuk (jama’ bagi sakk) atau bon-bon Islam adalah komponen yang termasyur dalam Kewangan Islam di kalangan pengguna-pengguna Islam dan juga pengguna-pengguna bukan Islam.

      Sukuk merujuk kepada sijil-sijil amanah atau sekuriti-sekuriti penyertaan yang memberi kepada para pelabur pemilikan sebahagian daripada aset termasuk aliran wang tunai dan risiko yang sepadan dengan pemilikan berkenaan. Seperti juga bon-bon kewangan dalam industri kewangan konvensional, sukuk adalah surat bukti hak milik dan digunakan oleh institusi-institusi kewangan untuk mengumpul wang tunai.

  • Pengurusan Dana dan Kekayaan Islam
    • Sebuah destinasi bagi pengurus-pengurus kewangan untuk menubuhkan operasi-operasi pengurusan dana Islam di Malaysia dengan julat pasaran modal dan instrument-instrumen perbendaharaan bertaraf dunia yang luas.

      Pengurusan dana dan kekayaan Islam adalah pengurusan profesional bagi sekuriti-sekuriti yang mematuhi Shariah dan aset-aset berdasarkan prinsip-prinsip Islam bagi mencapai matlamat-matlamat kewangan. Ruang lingkup aktiviti melibatkan analisis kewangan, pemilihan aset-aset dan sekuriti-sekuriti, perancangan pelaburan dan pemantauan berterusan dana-dana pelaburan. Individu dan institusi boleh menjadi pengurus-pengurus dana dan kekayaan Islam melalui penyediaan perkhidmatan berkaitan.

  • Perbankan Islam Antarabangsa
    • Sebuah pusat bagi institusi-institusi kewangan menubuhkan operasi-operasi perbankan Islam di Malaysia bagi menjalankan perniagaan matawang asing.

  • Takaful Antarabangsa
    • Sebuah pusat bagi institusi-institusi menubuhkan operasi-operasi takaful (insurans Islam) di Malaysia bagi menjalankan perniagaan matawang asing.

      Takaful adalah satu konsep yang mana sekumpulan peserta saling jamin menjamin antara satu sama lain daripada kerugian atau kerosakan. Setiap peserta memenuhi tanggungjawabnya dengan membuat sumbangan (tabarru) tertentu ke dalam satu dana, yang diurus oleh pihak ketiga – pengendali takaful.

  • Pembangunan Modal Insan
    • Sebuah pusat kecemerlangan dan para cendiakawan bagi pendidikan, latihan, perundingan dan penyelidikan dalam bidang kewangan Islam untuk membekal bakat bagi industri kewangan Islam secara global.

Insentif-insentif utama yang diperkenalkan di bawah inisiatif MIFC termasuk;

  • Pengeluaran lesen Perbankan Islam Antarabangsa (IIB) di bawah Akta Perbankan Islam 1983 kepada institusi-institusi kewangan asing dan Malaysia yang berkelayakan untuk menjalankan perniagaan perbankan Islam sepenuhnya dengan pemastautin dan bukan pemastautin dalam matawang antarabangsa sama ada sebagai sebuah anak syarikat atau sebuah cawangan. Entiti ini akan diberikan pengecualian penuh cukai pendapatan untuk selama sepuluh tahun hingga tahun taksiran 2016 di bawah Akta Cukai Pendapatan, 1967.

  • Pengeluaran lesen Pengendali Takaful Antarabangsa (ITO) kepada institusi-institusi kewangan asing dan Malaysia yang berkelayakan untuk menjalankan perniagaan takaful sepenuhnya dengan pemastautin dan bukan pemastautin dalam matawang antarabangsa sama ada sebagai sebuah anak syarikat atau sebuah cawangan. Entiti ini akan diberikan pengecualian cukai pendapatan sebagaimana yang diberikan kepada entiti IIB.

  • Syarikat-syarikat pengurusan dana Islam (IFMC) dibenarkan melabur semua dana Shariah mereka di seberang laut. Entiti ini akan diberikan pengecualian cukai pendapatan ke atas semua bayaran bagi mengurus dana-dana Islam bagi pelabur-pelabur asing dan Malaysia sehingga tahun taksiran 2016 di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Penyediaan dana permulaan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja bagi penubuhan IFMC asing.

  • Sehingga 100% pemilikan ekuiti asing dibenarkan untuk IIB, ITO dan IFMC.

  • Potongan cukai ke atas perbelanjaan yang dilakukan bagi terbitan sekuriti-sekuriti Islam yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti hingga tahun taksiran 2015.

  • Pengecualian duti setem ke atas instrumen-instrumen yang digunakan untuk menerbit sukuk dalam mana-mana matawang hingga tahun taksiran 2015.

  • Pengecualian cukai dan pengecualian cukai tertahan ke atas faedah atau keuntungan yang diterima oleh para pelabur bukan pemastautin daripada pelaburan dalam sekuriti-sekuriti Islam yang diterbitkan dalam mana-mana matawang, selain stok pinjaman boleh ditukar, yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti.

Perkhidmatan-perkhidmatan kewangan Islam juga terdapat di Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC).

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif MIFC, sila layari www.mifc.com

2 Pembiayaan Semula Kredit Eksport

Pembiayaan Semula Kredit Eksport (ECR) adalah satu skim yang menyediakan pembiayaan jangka pendek pra-penghantaran dan pasca penghantaran kepada pengeksport-pengeksport langsung atau pengeksport-pengeksport tidak langsung. Ia ditawarkan kepada pengilang atau syarikat perdagangan yang mempunyai talian kredit ECR yang diwujudkan dengan mana-mana bank perdagangan yang terbabit.

Kemudahan ECR pra-penghantaran memudahkan pembelian bahan-bahan dan perbelanjaan pengendalian perniagaan manakala ECR pasca penghantaran menyediakan pembiayaan kepada pengeksport-pengeksport langsung selepas penghantaran.

Kaedah Pembiayaan

Dua kaedah pembiayaan disediakan untuk pengeksport-pengeksport di bawah ECR pra penghantaran, iaitu kaedah berasaskan pesanan dan kaedah perakuan prestasi (CP).

Di bawah kaedah berasaskan pesanan, pembiayaan ECR pra-penghantaran adalah bersandarkan pesanan-pesanan eksport yang diterima daripada pembeli-pembeli seberang laut. Di bawah kaedah CP pula, pembiayaan pra-penghantaran adalah bersandarkan CP yang dikeluarkan oleh Bank EXIM.

Kemudahan ECR pasca penghantaran menggunakan kaedah pendiskaunan bil dan pembiayaan bersandarkan dokumen-dokumen eksport yang dipersembahkan kepada bank-bank perdagangan.

Tempoh dan Jumlah Pembiayaan

Tempoh maksimum pembiayaan di bawah ECR pra-penghantaran dan ECR pasca Penghantaran adalah masing-masing empat bulan dan enam bulan.

Di bawah kaedah berasaskan pesanan, pengeksport-pengeksport boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 95% daripada nilai pesanan eksport mereka atau Surat Kredit Domestik ECR/Pesanan Pembelian Domestik ECR/Pesanan Pembelian Tempatan. Di bawah kaedah CP pula, jumlah pembiayaan tertakluk kepada CP yang dikeluarkan oleh Bank EXIM.

Bagi ECR pasca penghantaran, pengeksport-pengeksport boleh mendapatkan pembiayaan sehingga maksimum 100% daripada nilai bil eksport tertakluk kepada ketersediaan had kredit ECR dengan bank-bank perdagangan serta had pentabdiran Bank EXIM.

Pembayaran Balik

Pembayaran balik hendaklah dilakukan setelah menerima prosid-prosid eksport atau bagi kes ECR pasca penghantaran, setelah matang bil pasca penghantaran, yang mana lebih dahulu.

Untuk maklumat lanjut mengenai pembiayaan kredit eksport, sila layari http://www.exim.com.my

3 Pasaran Sekuriti di Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal di Malaysia. Ditubuhkan pada 1 Mac 1993, di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993, ia adalah sebuah badan berkanun biaya sendiri yang diberi kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan. Ia melapor kepada Menteri Kewangan dan akaunnya dibentangkan di Parlimen setiap tahun. Di antara fungsi pengawalan selia SC termasuk:

a. Mengawal selia bursa-bursa, rumah-rumah penjelasan dan depositori pusat;
b. Pihak berkuasa bagi mendaftar prospektus-propektus syarikat selain daripada kelab rekreasi tidak tersenarai;
c. Pihak berkuasa bagi meluluskan terbitan-terbitan bon;
d. Mengawal selia semua perkara yang berhubungkait dengan sekuriti-sekuriti dan kontrak-kontrak niaga hadapan;
e. Mengawal selia pengambilalihan dan percantuman syarikat-syarikat;
f. Mengawal selia semua perkara berkaitan dengan skim-skim unit amanah
g. Melesen dan mengawasi semua individu yang berlesen;
h. Menggalakkan kawal selia sendiri; dan
i. Memastikan perilaku yang betul di kalangan institusi-institusi pasaran dan individu-individu yang berlesen.


Melaksanakan semua fungsi ini merupakan tanggungjawab besar SC dalam melindungi pelabur. Selain daripada melaksanakan fungsi pengawalan selia, SC juga bertanggungjawab di bawah undang-undang untuk menggalak dan mempromosikan pembangunan pasaran sekuriti dan pasaran niaga hadapan di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut mengenai SC, sila layari http://www.sc.com.my.

Bursa Malaysia Berhad

Bursa Malaysia adalah sebuah syarikat pemegangan bursa yang diluluskan di bawah Seksyen 15 Akta Pasaran dan Perkhidmatan Modal 2007. Sebuah syarikat awam yang terhad oleh saham-saham di bawah Akta Syarikat 1965, Bursa Malaysia mengendalikan sebuah bursa bersepadu penuh, yang menawarkan produk-produk ekuiti, derivatif, luar pesisir, bon serta produk-produk Islam dan menyediakan julat luas bagi pilihan-pilihan pelaburan secara global.

Bursa Malaysia Securities mengawal dan mengendalikan aktiviti-aktiviti dagangan sekuriti di Malaysia, sebuah bursa saham dengan kira-kira 1,000 syarikat merentasi 50 aktiviti ekonomi. Syarikat-syarikat daripada sektor-sektor ekonomi disenaraikan sama ada di Pasaran Utama bagi syarikat-syarikat bermodal besar dan tertubuh, atau di Pasaran ACE bagi syarikat-syarikat baru muncul semua saiz. Bursa ini menerimaguna nilai-nilai FTSE Bursa Malaysia KLCI sebagai indeks utamanya.

Bursa Malaysia Derivatives (BMD) adalah sebuah anak syarikat Bursa Malaysia Berhad yang menyedia, mengendali dan mengekalkan sebuah bursa niaga hadapan dan opsyen. Produk bintang BMD, kontrak niaga hadapan minyak kelapa sawit mentah (FCPO) menjadi penanda aras global bagi penentuan harga minyak kelapa sawit dan produk-produk berasaskan minyak kelapa sawit. Pada 2009, Kumpulan Chicago Mercantile Exchange (CME) mengambil alih 25% kepentingan ekuiti di dalam Bursa Malaysia Derivatives Berhad. Produk-produk BMD telah dipindahkan ke platform dagangan elektronik CME Globex® supaya produk boleh dilihat dengan lebih jelas dan mudah diakses oleh pedagang-pedagang antarabangsa.

Bagi mengumpil di atas kekuatannya dalam pasaran-pasaran modal Islam, matlamat jangka panjang Bursa Malaysia adalah untuk mengangkat penawaran produk-produk Islamnya ke status aliran utama. Bursa Malaysia merupakan bursa pertama menubuhkan Bursa Suq Al-Sila’, pangkalan dagangan komoditi-komoditi mematuhi Shari’ah hujung-ke-hujung pertama.

Bursa Malaysia komited untuk menjadikan pasaran modal Malaysia menarik kepada pelabur-pelabur seluruh dunia. Bursa ini memberi penekanan yang kuat untuk memastikan pasaran berjalan secara adil dan lancar setiap masa, dengan keutamaan yang tinggi diberikan bagi melindungi pelabur-pelabur. Kekuatannya terletak pada pendekatan progresif yang diambil untuk memastikan standard perilaku yang tinggi diamalkan oleh penggiat-penggiat pasaran.


(i) Peserta Pasaran

a. Syarikat Broker Saham
Pada masa ini, terdapat lebih daripada 30 syarikat broker saham yang mana 15 daripadanya dikategorikan sebagai Bank Pelaburan. Bank-bank ini menawarkan perkhidmatan urus niaga sekuriti-sekuriti yang tersenarai di Bursa Malaysia Securities. Bank-bank pelaburan memiliki lesen perbankan saudagar yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) serta lesen Perkhidmatan Pasaran Modal yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti di bawah Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007. Oleh itu, bank-bank pelaburan menawarkan ruang lingkup perkhidmatan pasaran modal dan kewangan bersepadu yang penuh termasuk pembiayaan korporat, perdagangan sekuriti-sekuriti hutang dan urus niaga sekuriti-sekuriti. Sebuah syarikat broker masih lagi memegang status broker sedunia. Sebuah broker sedunia boleh menawarkan perkhidmatan pasaran modal bersepadu.
b. Peserta Perdagangan
Peserta Perdagangan adalah sebuah syarikat yang memiliki sekurang-kurangnya satu Saham Keutamaan Bursa Malaysia Derivatives bagi menjalankan perniagaan sebagai broker niaga hadapan yang dilesenkan oleh Suruhanjya Sekuriti di bawah Akta Pasaran Modal & Perkhidmatan 2007 dan menjalankan perdagangan Kontrak yang didagangkan di Bursa Malaysia Derivatives.


(ii) Perlindungan bagi Pelabur

Dengan hasrat untuk melindung para pelabur, Bursa Malaysia ketika ini mengurus tiga dana pampasan, iaitu Dana Pampasan Bursa Malaysia Securities, Dana Fideliti Bursa Malaysia Derivatives dan Dana Pampasan Bursa Malaysia Depository untuk memberi pampasan kepada pelabur-pelabur yang mengalami kerugian yang termasuk di bawah keadaan-keadaan yang ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan sekuriti-sekuriti yang berkaitan. Dana-dana ini ditadbir oleh sebuah Jawatankuasa Pampasan.


(iii) Pengurusan Risiko

Kerangka kerja pengurusan risiko enterpris Bursa Malaysia, menerusi penyeliaan Jawatankuasa Pengurusan Risiko (RMC), adalah bertujuan untuk mengurus dan mengawal risiko-risiko dengan sewajarnya bagi Kumpulan berkenaan. Risiko-risiko utama dikenalpasti dan diberi penarafan mengikut kemungkinan ia akan berlaku serta sejauh mana impaknya, manakala pelan-pelan tindakan sewajarnya dibangunkan untuk mengurus baki risiko yang signifikan.

4 Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir
Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA)

Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) adalah sebuah badan berkanun yang bertanggungjawab bagi pembangunan dan pentadbiran Pusat Perniagaan dan Kewangan Antarabangsa Labuan (Labuan IBFC). Para pelabur yang berhasrat untuk menubuhkan perniagaan mereka di Labuan IBFC boleh berurus dengan Labuan FSA, sebuah agensi sehenti yang mengeluarkan lesen dan mengawal entiti-entiti yang beroperasi di dalam atau di luar Labuan IBFC.

Fungsi-fungsi Labuan FSA dipandu oleh matlamat-matlamat berikut:
(i) untuk mempromosi dan membangunkan Labuan sebagai sebuah pusat antarabangsa bagi perniagaan dan perkhidmatan-perkhidmatan kewangan.
(ii) untuk membangunkan matlamat, dasar dan keutamaan negara bagi pembangunan dan pentadbiran teratur perniagaan dan perkhidmatan-perkhidmatan kewangan antarabangsa di Labuan; dan
(iii) untuk bertindak sebagai pihak berkuasa pengawalan, penyeliaan dan penguatkuasan IBFC di Labuan.
Labuan IBFC Incorporated Sdn Bhd (Labuan IBFC Inc) berkhidmat sebagai bahagian pemasaran Labuan FSA bagi mempromosi produk-produk dan perkhidmatan-perkhidmatan di bawah bidang kuasanya. Ia mempunyai sepasukan pakar-pakar untuk memberi nasihat teknikal dalam bidang-bidang percukaian antarabangsa, pengurusan dana, pengurusan kekayaan, insurans dan kewangan Islam.

Aktiviti-Aktiviti Perniagaan Labuan IBFC

Labuan IBFC menawarkan satu penyelesaian kewangan komprehensif bagi kedua-dua produk dan perkhidmatan konvensional dan berasaskan prinsip-prinsip Shariah termasuk perbankan, insurans dan produk-produk berkaitan insurans, takaful/takaful semula, pemajakan, pentadbiran amanah dan pengumpulan modal.

Sejak penambahan kerangka kerja undang-undang pada 2010, IBFC telah mempelbagaikan lagi tawaran produk-produk nicnya termasuk kaptif, yayasan, pengurusan kekayaan dan operasi perkapalan di bawah inisiatif Daftar Kapal Antarabangsa Malaysia. Julat luas struktur-stuktur perniagaan berkesan kos seperti Syarikat Pemegangan Labuan, Syarikat-syarikat Sel Terlindung Labuan, Perkongsian Liabiliti Terhad Labuan dan Amanah Khas juga disediakan. Setelah dikaji semula struktur-struktur bayaran pada 2010, IBFC telah muncul sebagai salah satu bidang kuasa paling kompetitif di rantau Asia Pasifik.

Syarikat Perdagangan Antarabangsa Labuan yang diperkenalkan pada 2011 di bawah Program Insentif Global untuk Perdagangan menawarkan insentif-insentif untuk memboleh syarikat-syarikat perdagangan antarabangsa yang terbabit dalam perniagaan minyak dan gas mengambil manfaat daripada potensi pasaran yang begitu besar dan memaksimumkan pulangan pelaburan mereka dari Labuan dan wilayah-wilayah di sekelilingnya.

Bursa Kewangan Antarabangsa Labuan (LFX) melengkapkan kemudahan-kemudahan perbankan tradisi menerusi penawaran perkhidmatan-pekhidmatan pengumpulan modal penuh dengan akses tidak terhad ke pasaran-pasaran antarabangsa melalui aktiviti-aktiviti penyenaraian, dagangan dan penjelasan instrumen-instrumen kewangan.

Insentif-Insentif Perniagaan di Labuan IBFC

Aktiviti-aktiviti perniagaan yang dijalankan oleh syarikat-syarikat di Labaun dikategorikan sebagai aktiviti-aktiviti dagangan dan bukan dagangan. Aktiviti-aktiviti dagangan termasuk perbankan, insurans, pengurusan dana, pemajakan, broker wang dan perniagaan-perniagaan berkaitan dagangan lain. Manakala bukan dagangan merujuk kepada aktiviti-aktiviti berkaitan dengan pemegangan pelaburan dalam sekuriti, stok dan saham, dan lain-lain.

(i) Struktur Cukai Berdaya Saing

  • Di bawah Akta Aktiviti Perniagaan Labuan 1990, sebuah entiti Labuan yang menjalankan aktiviti dagangan di Labuan boleh memilih untuk membayar cukai setiap tahun pada kadar 3% daripada keuntungan bersih terauditnya atau membayar cukai tetap sebanyak RM20,000. Pada masa ini tidak ada cukai dikenakan ke atas entiti Labuan yang menjalankan aktiviti-aktiviti bukan dagangan.
  • Sebuah entiti Labuan yang menjalankan aktiviti perniagaan juga boleh membuat pilihan yang tidak boleh ditarik balik untuk membayar cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967. Ini bukan sahaja memberi kebolehubahan kepada entiti Labuan untuk mengstruktur urusan perniagaan mereka dengan berkesan, tetapi juga mengwujudkan persekitaran cukai yang lebih baik bagi pelabur-pelabur yang beroperasi di dalam atau menerusi Labuan IBFC.
  • Sebuah eniti Labuan juga boleh membayar Zakat Perniagaan sebagai ganti kepada cukai.


(ii) Pengecualian Cukai bagi Entiti Labuan di bawah Akta Pendapatan Cukai

Kerajaan memberi pengecualian cukai untuk memikat lebih ramai pelabur dan perkhidmatan-perkhidmatan profesional menubuhkan perniagaan mereka di Labuan, yang mana pengecualian berikut diberikan bagi entiti-entiti Labuan di bawah Akta Cukai Pendapatan:

  • Dividen yang dibayar kepada seorang pemastautin atau seorang bukan pemastautin.
  • Dividen yang diterima daripada sebuah syarikat tempatan Malaysia, yang dibayar daripada dividen yang diterima daripada sebuah entiti Labuan.
  • 100% pengecualian cukai ke atas bayaran-bayaran yang dikeluarkan kepada Pengarah bukan warga negara.
  • Pengagihan oleh yayasan dan perkongsian Labuan kepada benefisiari dan rakan kongsi.
  • Entiti-entiti Labuan dikecualikan daripada cukai tertahan bagi perkara-perkara berikut:
    • Faedah yang dibayar kepada seorang pemastautin atau bukan pemastautin yang tidak terbabit dalam perniagaan perbankan, kewangan atau insurans di Malaysia.
    • Faedah yang dibayar kepada seorang bukan pemastautin atau sebuah entiti Labuan lain.
    • Sewa pemajakan yang dibayar kepada bukan pemastautin oleh sebuah entiti pemajakan berlesen Labuan.
    • Bayaran teknikal atau pengurusan yang dikeluarkan kepada seorang bukan pemastautin atau sebuah entiti Labuan lain.
    • Royalti kepada seorang bukan pemastautin atau sebuah entiti Labuan lain.
    • Pembayaran fi yang dikeluarkan kepada seorang bukan pemastautin di bawah Seksyen 4 (f) Akta Pendapatan Cukai 1967.
    • Pengagihan yang dilakukan oleh sebuah badan amanah Labuan kepada benefisiari bukan pemastautin.
    • Pengagihan yang dilakukan oleh sebuah yayasan Labuan atau sebuah Perkongsian Labuan kepada benefisiari dan rakan kongsi.
  • Pengecualian Cukai bagi Perkhidmatan Profesional Layak dan Penggajian
    • Mana-mana individu atau pekerjanya atau sebuah syarikat yang memberi perkhidmatan profesional layak kepada sebuah entiti Labuan di Labuan dikecualikan daripada cukai pendapatan sehingga 65% daripada pendapatan berkanun. Perkhidmatan-perkhidmatan profesional layak termasuk perkhidmatan-perkhidmatan perundangan, perakaunan, kewangan dan kesetiausahaan.
    • Individu-individu bukan warga negara yang bekerja sebagai pengurus dalam sebuah entiti di Labuan, bekerja di Labuan dan lokasi bersama/pejabat pemasaran (seperti diluluskan oleh Labuan FSA) menikmati pengecualian cukai pendapatan sehingga 50% daripada pendapatan kasar penggajian.
    • 50% pengecualian cukai ke atas elaun-elaun Labuan dan perumahan yang dibayar kepada pekerja-pekerja Malaysia yang bekerja dalam sebuah entiti Labuan.
  • Pengecualian Duti Setem

    Semua dokumen yang diuruskan oleh sebuah entiti Labuan berhubung dengan aktiviti-aktiviti perniagaan (termasuk M&A dan pemindahan saham-saham sebuah syarikat Labuan dan juzuk dokumen sebuah badan amanah, perkongsian dan yayasan Labuan) dikecualikan daripada bayaran duti setem.

    Untuk maklumat lanjut mengenai Labuan FSA, sila layari http://www.labuanfsa.gov.my

5 Amalan Kawalan Pertukaran Matawang

Malaysia terus mengekalkan dasar pentadbiran pertukaran matawang (foreign exchange administration atau FEA) liberal yang sebahagian besarnya merupakan langkah-langkah berhemat untuk menyokong matlamat menyeluruh makroekonomi bagi mengekalkan kestabilan monetari dan kewangan sambil memelihara kedudukan imbangan bayaran. Dasar-dasar FEA ini telah diliberalisasikan secara progresif bagi menambahkan daya saingan ekonomi dan mencapai kecekapan yang lebih tinggi dalam menjalankan perdagangan dan pelaburan.

Peraturan diguna pakai bagi Bukan Pemastautin

Pelaburan di Malaysia

Tiada sekatan FEA dikenakan dan pasaran-pasaran Malaysia mudah diakses oleh pelabur-pelabur global. Terdapat pergerakan bebas aliran masuk dan keluar modal untuk pelaburan di Malaysia.

  • Bukan pemastautin bebas melabur dalam apa jua bentuk aset-aset ringgit sama ada sebagai pelaburan langsung atau portfolio; dan
  • Mereka bebas mengirim ke luar prosid lucut hak pelaburan, keuntungan, dividen atau mana-mana pendapatan yang berpunca daripada pelaburan itu di Malaysia.

Tidak ada sekatan dikenakan bagi bukan pemastautin untuk menukarkan matawang asing ke ringgit atau sebaliknya, dengan bank-bank dalam pesisir berlesen, bagi pembelian aset-aset ringgit atau untuk memindah keluar dana-dana yang berpunca daripada pelaburan-pelaburan ringgit. Bukan pemastautin juga dibenarkan membuat bayaran penjelasan pelaburan-pelaburan dalam ringgit menerusi bank-bank seberang laut dilantik dalam kumpulan perbankan yang sama dengan bank-bank yang berada di Malaysia.


Kebolehcapaian kepada pembiayaan domestik

i. Pinjaman dalam matawang asing

  • Sekatan tidak pernah dikenakan ke atas bukan pemastautin (bank dan bukan bank) untuk mendapatkan pembiayaan dalam matawang asing daripada bank-bank dalam pesisir berlesen. Prosid-prosid pinjmanan boleh digunakan di luar pesisir dan dalam pesisir; dan
  • Bukan pemastautin dibenarkan menerbit sukuk/bon dalam denominasi matawang asing di Malaysia untuk kegunaan di dalam pesisir atau seberang laut.

ii. Pinjaman dalam ringgit

  • Bukan pemastautin bukan bank bebas meminjam sebarang jumlah dalam ringgit daripada bank-bank dalam pesisir berlesen untuk membiayai aktiviti-aktiviti sektor hartanah di Malaysia; dan
  • Bukan pemastautin juga boleh mengumpul pembiayaan ringgit menerusi terbitan sukuk/bon di Malaysia. Prosid-prosid boleh digunakan di dalam pesisir atau luar pesisir.


Bayaran penjelasan bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan

Bukan pemastutin boleh membuat bayaran penjelasan bagi perdagangan barangan dan perkhidmatan dalam matawang asing atau ringgit dengan pemastautin-pemastautin.


Lindung Nilai

Bukan pemastautin bebas untuk melindung nilai dengan bank-bank dalam pesisir berlesen dan Bank-bank Islam Antarabangsa berlesen bagi urus niaga akaun modal dan akaun semasa berasaskan iltizam sandaran utuh. Bagaimanapun, lindung nilai melibatkan ringgit mestilah dilakukan hanya dengan bank-bank dalam pesisir berlesen.


Akaun-akaun ringgit dan matawang asing

Tidak ada sekatan dikenakan bagi bukan pemastautin untuk membuka:

  • akaun-akuan matawang asing dengan bank-bank dalam pesisir berlesen dan Bank-bank Islam Antarabangsa berlesen untuk mudahcara pelaburan-pelaburan serta operasi-operasi perniagaan di Malaysia. Dana-dana dalam akaun-akaun ini bebas untuk dikirimkan ke luar negara; dan
  • akaun-akaun ringgit dengan bank-bank dalam pesisir berlesen. Akaun-akaun ini boleh didana dengan ringgit daripada jualan matawang asing atau mana-mana pendapatan ringgit yang diperoleh daripada pelaburan-pelaburan mereka di Malaysia termasuk faedah, sewa, keuntungan, dividen atau prosid daripada lucut hak aset-aset ringgit mereka. Dana-dana dalam akaun-akaun ini juga bebas untuk dikirimkan ke luar negara setelah ditukar ke dalam matawang asing dengan bank-bank dalam pesisir berlesen.
Peraturan diguna pakai bagi Pemastautin

Pelaburan dalam aset-aset matawang asing

Pemastautin bebas untuk melabur dalam aset-aset matawang asing menggunakan dana-dana matawang asing sendiri, prosid-prosid daripada pinjaman-pinjaman dibenarkan dan prosid-prosid daripada terbitan-terbitan Tawaran Awam Awal di Papan Utama Bursa Malaysia. Had-had berhemat diguna pakai hanya bagi pelaburan-pelaburan oleh pemastautin-pemastautin dengan pinjaman-pinjaman ringgit domestik yang menukarkan ringgit ke dalam matawang asing bagi pelaburan berikut:
  • Sehingga sama nilai dengan RM50 juta secara agregat bagi setiap tahun takwim untuk syarikat-syarikat pemastutin berdasarkan satu kumpulan korporat; dan
  • Sehingga sama nilai dengan RM 1 juta secara agregat bagi setiap tahun takwim untuk pemastautin individu.


Pinjaman dalam pesisir dan luar pesisir

i. Pinjaman dalam matawang asing

  • Syarikat-syarikat pemastautin bebas mendapatkan sebarang jumlah pinjaman matawang asing daripada:
    • Bank-bank dalam pesisir berlesen;
    • Syarikat-syarikat berkaitan bukan pemastautin bukan bank; dan
    • Syarikat-syarikat berkaitan pemastautin
  • Pinjaman matawang asing oleh syarikat-syarikat pemastautin daripada bank-bank bukan pemastautin dan syarikat-syarikat bukan pemastautin lain (bukan berkaitan) tertakluk kepada had berhemat yang sama nilai dengan RM100 juta secara agregat berdasarkan satu kumpulan korporat. Pinjaman matawang asing oleh individu-individu pemastautin daripada bank-bank dalam pesisir berlesen dan bukan pemastautin tertakluk kepada had agregat yang sama nilai dengan RM10 juta.

ii. Pinjaman dalam ringgit

  • Syarikat-syarikat pemastautin bebas mendapatkan pinjaman ringgit daripada syarikat-syarikat berkaitan bukan pemastautin bukan bank bagi membiayai aktiviti-aktiviti dalam sektor hartanah di Malaysia atau sehingga RM1 juta secara agregat daripada syarikat-syarikat bukan pemastautin bukan bank atau individu-individu untuk kegunaan di Malaysia.
  • Individu-individu pemastautin bebas mendapatkan pinjaman ringgit sebarang jumlah daripada ahli-ahli keluarga terdekat bukan pemastautin dan sehingga RM1 juta secara agregat daripada syarikat-syarikat bukan pemastautin bukan bank atau individu-individu bukan pemastautin untuk kegunaan di Malaysia.


Import dan eksport barangan dan perkhidmatan

Kesemua prosid daripada eksport barangan mestilah dipindah balik ke Malaysia sepenuhnya seperti tertera dalam kontrak jualan yang tidak boleh melebihi enam bulan dari tarikh eksport. Bayaran penjelasan dengan bukan pemastautin boleh dilakukan dalam ringgit atau matawang asing.


Lindung nilai

Pemastautin bebas melindung nilai dengan bank-bank dalam pesisir berlesen dan Bank-bank Islam Antarabangsa berlesen bagi urus niaga akaun modal dan akaun semasa. Bagaimanapun, lindung nilai mestilah dilakukan hanya dengan bank-bank dalam pesisir berlesen.


Akaun matawang asing

Pemastautin bebas membuka akaun-akaun matawang asing dengan bank-bank dalam pesisir berlesen, Bank-bank Islam Antarabangsa belesen dan bank-bank luar pesisir bagi sebarang maksud.

  • Bagi individu pemastautin, akaun ini dibenarkan untuk disimpan secara individu atau bersama-sama dengan individu pemastautin lain dan dengan ahli keluarga terdekat bukan pemastautin;
  • Bagi akaun-akaun matawang asing yang disimpan oleh syarikat-syarikat pemastautin dengan Bank-bank Islam Antarabangsa dan bank-bank luar pesisir, akaun ini boleh didanakan dengan mana-mana matawang asing kecuali prosid-prosid eksport daripada eksport barangan. Tiada sekatan dikenakan ke atas sumber dana-dana matawang asing yang akan dikreditkan dalam akaun-akaun matawang asing yang disimpan dengan bank-bank dalam pesisir berlesen.

Untuk maklumat lanjut mengenai peraturan-peraturan pertukaran, sila layari http://www.bnm.gov.my/microsites/fxadmin/index.htm.

Sebelumnya

Tenaga Kerja Industri

Prosedur Imigresen

Seterusnya

Pengurusan Alam Sekitar

Perlindungan Harta Intelek

Tarikh Dikemaskini : Jumaat 14 April 2017