TERKINI
Logo

Tenaga Kerja Berpendidikan

Malaysia menawarkan kepada para pelabur tenaga kerja yang muda, terdidik dan produktif pada kos yang kompetitif. Kadar celik huruf Malaysia adalah tinggi dan mereka yang meninggalkan bangku sekolah untuk memasuki pasaran pekerjaan mempunyai sekurang-kurangnya 11 tahun pendidikan asas.

Malaysia menawarkan tenaga kerja yang muda, terdidik dan produktif kepada pelabur pada kos yang kompetitif berbanding negara-negara lain di Asia. Dengan sokongan padu berterusan kerajaan untuk membangunkan sumber manusia dalam semua sektor, kualiti tenaga kerja Malaysia adalah antara yang terbaik di rantau ini.


Keutamaan Diberi Kepada Pendidikan

Pendidikan dan latihan diberi keutamaan dalam pembangunan negara di bawah rancangan-rancangan lima tahun Malaysia.

Setakat ini, terdapat 20 universiti awam dan 21 universiti swasta serta lebih 400 kolej, politeknik dan institusi-institusi latihan industri yang menawarkan kursus-kursus yang mengeluarkan kelayakan sijil, diploma, ijazah dan lepasan ijazah. Keseluruhan bilangan kemasukan dalam institusi-institusi pengajian tinggi awam sahaja dianggarkan mencecah lebih 350,000 dengan separuh daripadanya dalam jurusan sains dan teknik.

Sektor swasta juga turut menubuhkan institusi-institusi pendidikan untuk melengkapkan usaha-usaha kerajaan bagi menjana lebih ramai golongan profesional dan separa profesional. Diantaranya adalah institusi-institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh syarikat-syarikat besar seperti Telekom Malaysia Berhad, Tenaga Nasional Berhad dan Petronas yang menawarkan kursus-kursus diperingkat ijazah. Berbagai kolej swasta di Malaysia menawarkan program-program ijazah secara berkembar dengan institusi-institusi pengajian tinggi seberang laut, manakala universiti-universiti asing membuka kampus-kampus cawangan di negara ini. Institusi-institusi pendidikan di Malaysia menjana ramai golongan profesional berkelayakan ijazah dan lepasan ijazah.


Latihan Industri

Pada tahun 1993, Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) telah dilancarkan oleh kerajaan untuk menggalakkan latihan, latihan semula dan menaik taraf kemahiran dalam sektor swasta. Majikan-majikan dalam sektor perkilangan yang menyumbang kepada kumpulan wang ini layak untuk memohon geran bagi membayar atau mengsubsidikan kos-kos yang ditanggung dalam latihan dan latihan semula tenaga perkerja mereka.

Jabatan Pembangunan Kemahiran yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan di bawah Kementerian Sumber Manusia menyelaras penubuhan semua institusi latihan awam dan swasta, menilai permintaan sedia ada dan masa hadapan bagi kemahiran, mengenal pasti keperluan latihan vokasional dan industri masa hadapan dan akan terus membangunkan piawaian di bawah Piawaian Kemahiran Pekerjaan Negara. Setakat ini, terdapat lebih 700 piawaian diperakui yang merangkumi kelayakan-kelayakan sijil, diploma dan diploma lanjutan.

Di samping institusi-institusi latihan awam seperti sekolah-sekolah teknik, politeknik-politeknik, institusi-institusi latihan industri dan pusat-pusat pembangunan kemahiran yang bilangannya semakin bertambah bagi memenuhi keperluan meningkat sektor perindustrian, usaha-usaha kerjasama antara kerajaan Malaysia, enterpris-enterpris dan kerajaan-kerajaan asing telah melahirkan penubuhan beberapa institusi latihan kemahiran lanjutan seperti Institut Jerman-Malaysia, Institut Malaysia Perancis, Institut Teknik Jepun Malaysia, Institut British Malaysia dan Institut Malaysia Sepanyol.


Perhubungan Perindustrian Harmonis

Perhubungan perindustrian di negara ini adalah harmonis dengan bilangan kecil pertikaian perdagangan yang mencetuskan mogok. Undang-undang pekerja Malaysia melindung kepentingan dan menyatakan dengan jelas hak-hak dan tanggungjawab-tanggungjawab majikan-majikan dan pekerja-pekerja, sekaligus menyediakan satu rangka kerja perundangan bagi perjalanan teratur perhubungan perindustrain di negara ini.

Sebelumnya

Dasar-dasar Sokongan Kerajaan

Kekukuhan Ekonomi

Seterusnya

Infrastruktur Membangun

Persekitaran Perniagaan yang Cergas

Tarikh Dikemaskini : Selasa 20 Februari 2018