UPDATE

Pelaburan Diluluskan bagi 1H2017 Berjumlah RM65.4 Bilion

Struktur Ekonomi Malaysia Yang Pelbagai akan Terus Menarik Minat Para Pelabur

Kuala Lumpur, 19 Oktober 2017 – Malaysia mencatatkan sejumlah RM65.4 bilion pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan, perkilangan dan utama bagi enam bulan pertama 2017 (1H2017), penurunan sebanyak 28.2% berbanding RM91.2 bilion bagi tempoh yang sama tahun lepas. Pelaburan ini melibatkan 2,294 projek dan akan mewujudkan 61,930 peluang pekerjaan.

“Penurunan ini adalah terutamanya disebabkan oleh pengurangan sebanyak 41% dalam jumlah pelaburan diluluskan bagi sektor perkhidmatan. Ini adalah selaras dengan kelembapan pasaran hartanah. Pelaburan yang diluluskan bagi sektor perkilangan juga berkurangan berbanding, sebahagiannya disebabkan oleh jumlah pelaburan besar bagi projek Pengerang dan RAPID di Johor pada tahun 2014-2016. Di samping itu, Malaysia tidak dapat bersaing dengan beberapa negara di rantau ini yang dapat menawarkan kos buruh yang lebih rendah.

“Di sebalik penurunan, kami yakin bahawa pelaburan dalam sektor perkilangan akan pulih dalam beberapa bulan yang akan datang, memandangkan Malaysia mempunyai ekosistem perindustrian yang tertubuh. Struktur ekonomi negara yang pelbagai terus menarik minat para pelabur domestik dan asing. Sebagai contoh setakat September 2017, MIDA sudah mempunyai 341 projek dalam perancangan dengan pelaburan bernilai RM50.9 bilion bagi sektor perkilangan dan perkhidmatan. Sebahagian besar daripada projek-projek dalam perancangan ini, apabila dilaksanakan, akan menyediakan lebih 18,000 peluang pekerjaan kepada negara," kata YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed.

Sektor Perkhidmatan

Prestasi sektor perkhidmatan adalah 41% lebih rendah berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas. Ini disebabkan terutamanya oleh penurunan dari sektor hartanah dan pertubuhan global, sumbangan pelaburan yang lebih kecil daripada sektor hartanah dan pertubuhan global, yang menyaksikan pemain industri melalui satu tempoh penyesuaian kepada perubahan permintaan pengguna dan kajian semula dasar.

“Bagi sektor pertubuhan global, tiada projek Hab Prinsipal (PH) yang diluluskan pada Jan-Jun 2017 memandangkan kajian semula dasar bagi Hab Prinsipal telah dilaksanakan. Walau bagaimanapun, berdasarkan projek dalam perancangan yang sedang dirundingkan oleh MIDA, kami menjangkakan bahawa akan ada beberapa kelulusan untuk projek PH dengan pelaburan yang besar untuk tahun ini," kata YB Menteri.

Sektor perkhidmatan mempunyai jumlah bilangan projek terbesar dalam 1H2017 dengan 1,974 projek yang diluluskan dalam tempoh tersebut. Selain daripada subsektor hartanah, penyumbang utama kepada pelaburan ini termasuk perdagangan pengedaran (RM4.7 bilion), perkhidmatan kewangan (RM4.7 bilion), utiliti (RM4.3 bilion) dan teknologi maklumat dan telekomunikasi (RM4.1 bilion). Secara kolektif, kelima-lima subsektor ini membentuk 81.0% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkhidmatan.

Sektor ini telah mengekalkan kedudukannya sebagai majikan terbesar dalam ekonomi, dengan mewujudkan lebih 39,000 peluang pekerjaan dalam 1H2017. Majoriti pekerjaan ini atau hampir 92% adalah dalam perdagangan pengedaran, syarikat berstatus MSC dan hotel & pelancongan.

Permintaan bagi pekerja yang berkemahiran tinggi dan berpengetahuan kebanyakannya dijana dalam sektor ICT di mana 167 syarikat berstatus MSC yang baru diluluskan bercadang untuk menggaji lebih 9,000 pekerja baru berpengetahuan IT. Status MSC Malaysia diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia untuk ‘ICT and ICT-facilitated businesses’ yang membangunkan atau menggunakan teknologi multimedia untuk menghasilkan dan mempertingkatkan produk dan perkhidmatan mereka.

Kelulusan dalam subsektor hotel & pelancongan meningkat sebanyak 10.7%, daripada RM2.0 bilion pada 1H2016 berbanding RM2.2 bilion pada 1H2017. Sejumlah 34 projek yang diluluskan akan menjana lebih 2,200 peluang pekerjaan baru. Majoriti pelaburan ini atau 79.2% tertumpu di subsektor hotel.

Subsektor pengangkutan yang terdiri daripada pengangkutan maritim, penerbangan dan pembinaan & penyelenggaraan lebuh raya mencatatkan pertumbuhan yang mengagumkan iaitu lebih daripada 10 kali ganda daripada RM0.3 bilion pada enam bulan pertama 2016 kepada RM3.9 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun ini. Kira-kira 95.8% daripada pelaburan ini disumbangkan oleh projek jalan yang diluluskan bernilai RM3.7 bilion, menunjukkan komitmen Kerajaan untuk membina infrastruktur bertaraf dunia yang akan mendorong ekonomi yang lebih berdaya saing dan mampan untuk menjana faedah ekonomi dan sosial yang besar dan berkekalan.

Sektor Perkilangan

Malaysia terus menarik tahap pelaburan yang sihat dalam sektor perkilangan di tengah-tengah ketidakpastian persekitaran ekonomi global. Sebanyak 302 projek perkilangan dengan pelaburan sebanyak RM17.0 bilion telah diluluskan oleh MIDA pada 1H2017, berbanding 372 projek dengan pelaburan RM20.6 bilion pada 1H2016. Pelaburan asing menyumbang sebanyak RM9.6 bilion atau 56.5% manakala pelaburan domestik mencatatkan RM7.4 bilion atau 43.5%.


Sumber utama pelaburan asing ialah Belanda, Switzerland, Jerman, Hong Kong dan Singapura. Kelima-lima negara ini menyumbang 76.2% daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor perkilangan untuk tempoh ini.

Prestasi pelaburan sederhana dalam sektor ini adalah seiring dengan trend pelaburan langsung asing global bagi sektor perkilangan. Menurut Laporan Pelaburan Dunia 2017 UNCTAD, nilai ‘announced greenfield FDI’ dalam sektor ini telah menurun sebanyak 23% daripada USD379,566 juta pada tahun 2003 kepada USD292,159 juta pada tahun 2016. Trend penurunan ‘ greenfield FDI’ global menunjukkan pengurangan jumlah pelaburan langsung asing tersedia di seluruh dunia, dengan itu meningkatkan persaingan di kalangan negara-negara bagi pelaburan langsung asing perkilangan.

"Di sebalik senario global, pelabur asing sedia ada terus menunjukkan keyakinan mereka terhadap persekitaran perniagaan kita. Sebanyak 84.5% daripada pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor perkilangan adalah daripada projek pembesaran atau pelbagaian dengan kandungan nilai tinggi. Ini termasuk pelabur jangka panjang Malaysia seperti Robert Bosch, B.Braun Medical Industries dan TF AMD Micro-Electronics," kata YB Menteri.

Projek perkilangan yang diluluskan untuk 1H2017 dijangka menjana sekitar 21,900 peluang pekerjaan. Peratusan pekerjaan dalam jawatan pengurusan, teknikal dan penyeliaan telah meningkat dari 21% dalam 1H2016 kepada 28% 1H2017, mencerminkan peralihan sektor perkilangan kepada rantaian nilai lebih tinggi, yang akan menghasilkan pekerjaan yang memberikan gaji lebih tinggi.

Subsektor sasaran 3+2 katalitik dan pertumbuhan berpotensi tinggi iaitu E&E, kimia & produk kimia, jentera & peralatan, peranti perubatan dan aeroangkasa, yang kenal pasti di bawah Rancangan Malaysia ke-11 telah menyumbangkan 58.7% (RM9.9 bilion) kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan. Apabila dilaksanakan, projek-projek ini akan terus memacu pembangunan dan pertumbuhan sektor perkilangan secara keseluruhan.

Industri E&E muncul sebagai penyumbang utama kepada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Kebanyakan projek berkualiti tinggi dalam E&E tertumpu dalam solar, wafer fabrikasi dan peranti semikonduktor.

Pecahan Pelaburan Diluluskan Bagi Sekor Perkilangan Mengikut Negeri

Dari segi penerima pelaburan diluluskan dalam sektor perkilangan, Pulau Pinang mencatatkan tahap pelaburan tertinggi dengan RM7.7 bilion, diikuti oleh Melaka (RM2.9 bilion), Selangor (RM1.7 bilion), Johor (RM1.4 bilion), dan Kedah (RM1.0 bilion). Secara kolektif, negeri-negeri ini menyumbang 86.4% atau RM14.7 bilion kepada jumlah pelaburan yang diluluskan yang akan membiayai 241 projek. Pelaburan ini bakal mewujudkan 18,920 peluang pekerjaan, membentuk 86.4% daripada jumlah keseluruhan sektor perkilangan.

Pelaburan dalam sektor perkilangan yang secara relatif lebih besar di beberapa negeri adalah disebabkan terutamanya oleh ekosistem yang dibangunkan selama bertahun-tahun di negara ini. Dalam tempoh tiga dekad yang lalu, Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan besar dalam membina infrastruktur utama seperti lapangan terbang, pelabuhan, rangkaian telekomunikasi dan zon perdagangan bebas terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Di samping itu, Kerajaan telah menyediakan kemudahan yang kukuh melalui pelbagai aktiviti promosi dan penyediaan insentif melalui MIDA dan agensi promosi pelaburan (IPA) lain. Peranan kerajaan negeri dalam hal berkaitan tanah dan kemudahan tempatan yang lain turut menyumbang dalam menarik pelaburan.

Sektor Utama

Pelaburan yang diluluskan dalam sektor utama mencatatkan kenaikan ketara sebanyak 517.9% daripada RM1.2 bilion pada 1H2016 kepada RM7.3 bilion pada 1H2017. Pelaburan dari sumber domestik berjumlah RM4.4 bilion atau 60.3% manakala pelaburan asing menyumbang RM2.9 bilion atau 39.7%. Subsektor perlombongan menerajui pelaburan yang diluluskan iaitu sebanyak RM6.8 bilion, terutamanya dari aktiviti penerokaan minyak dan gas (O&G).

Kesimpulan

“Cabaran semasa yang dihadapi Malaysia merupakan peluang untuk pertumbuhan. Saya menggesa pihak berkepentingan untuk bertahan kerana ini adalah merupakan permainan jangka panjang. Apabila keadaan tidak seperti yang diingini, ia bermakna kita perlu menggandakan usaha untuk menanganinya dan mempunyai kesabaran. Malaysia mempunyai rancangan ekonomi jangka panjang dan apabila tiba masanya, saya yakin negara akan menikmati hasil dari usaha yang kita laksanakan sekarang" kata YB Menteri.

**********

Bagi butiran lanjut, layari >> Fakta dan Angka

Muat turun:

Projek Perkilangan Diluluskan, Jan-Jun 2017 dan 2016

Projek Perkilangan Diluluskan Mengikut Industri Utama, Jan-Jun 2017 dan 2016

Projek Perkilangan Diluluskan Mengikut Negara Utama, Jan-Jun 2017 dan 2016

Projek Perkilangan Diluluskan Mengikut Negeri, Jan-Jun 2017 and 2016

Posted on : 19 October 2017
//
Last Updated : Thursday 19th July 2018