Date: Monday 20-May-13


Print this page Print this page Decrease Font Size Increase Font Size

Sektor Perkilangan

Industri Sokongan Kejuruteraan

Industri Sokongan Kejuruteraan

Industri-industri sokongan kejuruteraan Malaysia, yang termasuk industri-industri acuan, pemesinan, tekan tera logam, tuangan beracuan, rawatan haba dan saduran/rawatan permukaan, telah membangun dengan rancak sepanjang tiga dekad lalu seiring dengan pertumbuhan menyeluruh sektor perkilangan negara.

 

Setakat ini, Malaysia diiktiraf diperingkat antarabangsa bagi keupayaan dan kualiti pengeluarannya dalam pelbagai aktiviti kejuruteraan.  Ia mempunyai rangkaian industi-industri sokongan kejuruteraan yang berupaya untuk memenuhi keperluan-keperluan OEM dalam membekal bahagian dan komponen dan penyediaan perkhidmatan-perkhidmatan kejuruteraan kepersisan di peringkat global.

 

Sejak lima tahun yang lalu, aktiviti penyumberan luar telah matang dan menjadi satu arah aliran, dan industri sokongan kejuruteraan Malaysia mendapat manafaat daripada arah aliran ini.  Malaysia adalah destinasi penyumberan luar utama bagi syarikat-syarikat multinasional dalam industri-industri E&E, automotif, pengilangan jentera, minyak & gas, aeroangkasa, perubatan, pertahanan dan fotovolta.

 

Pada masa ini, Malaysia menggalakkan syarikat-syarikat supaya menempatkan diri mereka menjadi ‘Pusat-pusat Sehenti yang menyediakan penyelesaian menyeluruh kepada pelanggan-pelanggan.  ‘Pusat-pusat Sehenti’ ini akan menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan bersepadu daripada konsepsi produk hingga pengeluaran berkala dan mengurus keseluruhan proses-proses termasuk pemerolehan, logistik, pembungkusan, ujian dan pensijilan.

 

Acuan-Acuan

Sektor acuan-acuan adalah industri sokongan kejuruteraan utama di negara ini.  Pada masa ini, terdapat kira-kira 450 syarikat yang menggaji kira-kira 14,500 pekerja yang mana 50% adalah dalam kategori-kategori mahir dan profesional.

 

Syarikat-syarikat acuan di Malaysia berkeupayaan untuk mengeluarkan kebanyakan jenis acuan dan pembuat perkakas bagi menampong pelbagai keperluan perkakas sektor perkilangan.

 

Pada masa ini, 40% daripada acuan-acuan yang dikeluarkan adalah untuk industri-industri elektrik dan elektronik, manakala 27% daripada keluaran adalah untuk industri plastik.

 

Industri acuan-acuan di Malaysia berpotensi besar untuk berkembang dan dianggar akan menampong 60% daripada permintaan pasaran tempatan.

 

Pertumbuhan masa hadapan industri ini akan lebih banyak berfokus kepada pengeluaran pembuat perkakas kepersisan tinggi dan rumit bagi sektor elektrik dan elektronik, manakala acuan yang besar akan dikeluarkan untuk industri komponen-komponen automotif.

 

Pemesinan

Industri pemesinan di Malaysia boleh dikelaskan dalam dua kategori:

 

1) Syarikat-syarikat yang menyediakan perkhidmatan pemesinan kepada industri-industri lain mengikut asas mengambil upah.

 

2) Syarikat-syarikat yang mengeluarkan bahagian-bahagian termesin kepersisan seperti jig & lekapan, bahagian terlarik, aci, pin, sesendal dan komponen-komponen termesin lain.

 

Kini, terdapat lebih 200 syarikat beroperasi, yang menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan pemesinan kepersisan khas dan perkhidmatan-perkhidmatan pemesinan sokongan am bagi memenuhi permintaan sektor perkilangan tempatan.

 

Sesetengah pembekal-pembekal penyelesaian pemesinan yang amat bersepadu ini mampu melakukan pemesinan bertoleransi serendah 1 hingga 5 mikron.  Julat garis pusat pelarik adalah serendah 1mm hingga kira-kira 550mm.

 

Kebanyakan syarikat ini memiliki pusat-pusat pemesinan yang terkini dengan keupayaan menggerigi produk-produk saiz sehingga 0.6m3 dan sesetengahnya berkeupayaan untuk memesin gear dan aci kepersisan sangat kecil bagi jam tangan, jam besar dan kamera.

 

Sebilangan syarikat-syarikat pemesinan berkemampuan tinggi ini telah mempelbagaikan aktiviti-aktiviti mereka kepada rekabentuk dan pengilangan sistem-sistem dan peralatan-peralatan automasi terutama untuk industri-industri semikonduktor, elektrik dan elektronik.

 

Pembangunan rancak dalam industri-industri elektrik & elektronik, pengilangan jentera dan automotif di Malaysia akan meningkatkan permintaan bagi bahagian dan komponen termesin serta perkhidmatan-perkhidmatan pemesinan.

 

Tekan Tera Logam

Industri tekan tera logam adalah sebuah industri yang tertubuh di Malaysia dengan lebih 320 syarikat membekalkan bahagian-bahagian tekan tera/tekan kepada industri-industri automotif, elektrik & elektronik, jentera & kelengkapan dan peralatan mengukur & menguji kepersisan.

 

Industri ini sedang berkembang dan membangun ke arah tekan tera kelajuan tinggi dan kepada pengilangan bahagian-bahagian kepersisan lebih tinggi dan sangat kecil.  Sesetengah syarikat-syarikat besar berkeupayaan untuk tekan tera bahagian-bahagian sehingga toleransi kepersisan antara 5-10 mikron.

 

Tuangan Beracuan

Sektor tuangan beracuan adalah pembekal utama komponen-komponen bagi industri-industri elektrik, elektronik, automotif dan telekomunikasi.  Pada masa ini terdapat lebih 80 syarikat yang beroperasi.

 

Kira-kira 50% daripada tuangan beracuan yang dikeluarkan di Malaysia memenuhi keperluan syarikat-syarikat yang mengeluarkan komputer, persisian komputer, kamera dan peralatan elektrik isi rumah, manakala 30% lagi adalah pengeluaran komponen-komponen automotif.

 

Saduran/Rawatan Permukaan

Sektor saduran/rawatan permukaan Malaysia, yang terdiri lebih 60 syarikat, berkeupayaan untuk menjalankan berbagai-bagai proses kepersisan seperti saduran elektro kelompok atau berterusan, saduran elektro kepersisan, saduran tanpa elektro, saduran elektro fungsian, pendepositan elektro katod, rawatan dakrot, memfosfat,  pempasifan, menganod, mengkrom, saduran elektro untuk industri semikonduktor termasuk litar bersepadu dan kerangka mendulu, saduran sinter dan pengdepositan wap fisikal.

 

Permintaan semakin bertambah bagi perkhidmatan-perkhidmatan saduran/rawatan permukaan dalam industri-industri elektrik, elektronik, automotif dam komponen jentera telah menjanakan peluang-peluang teroka baru.

 

Malaysia menggalakkan penubuhan kilang-kilang saduran moden bagi melengkapkan pembangunan perindustrian negara yang rancak dan untuk menangani kebimbangan-kebimbangan yang dikaitan dengan industri saduran.

 

Rawatan Haba

Terdapat kira-kira 25 syarikat di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan-perkhidmatan rawatan haba dalam bentuk rawatan haba tali sawat jaring berterusan, pengkarburan, pengkarbonitridan, pengnitridan, pengnitro-karburan, pengerasan vakum, pelindapkejutan, penyepuhlindapan, penormalan dan pewajaan bagi berbagai-bagai jenis produk pengilangan keluli.

 

Memandangkan perkhidmatan ini merupakan satu keperluan kepada industri-industri berasaskan logam, sektor rawatan haba dijangka berkembang seiring dengan pembangunan rancak industri-industri jentera dan kelengkapan, acuan-acuan, produk-produk sekunder besi dan keluli, dan komponen-komponen automotif.

 

Kembali ke atas

^ Back to Top
pg