Date: Friday 25-Apr-14


Print this page Print this page Decrease Font Size Increase Font Size

Sektor Perkilangan

Industri Produk Berasaskan Kayu

Industri Berasaskan Kayu

Industri berasaskan kayu di Malaysia terdiri daripada empat subsektor utama:-

 

Kayu gergaji; venir dan produk-produk panel yang termasuk papan lapis dan produk-produk panel bancuhan lain seperti papan zarah/papan cip/papan gentian; kumai dan tanggam dan pertukangan kayu pembina (BJC) seperti pintu/tingkap dan panel-panel komponennya dan bahan lantai kayu/parket; dan perabot dan komponen-komponen perabot.  Industri ini sebahagian besarnya dimiliki rakyat Malaysia dan dianggarkan 80 – 90 peratus daripada syarikat-syarikat ini adalah syarikat berskala kecil dan sederhana (SME).

 

Kebanyakan kilang-kilang papan, venir dan papan lapis yang lebih besar terletak di Sabah dan Sarawak.  Kilang-kilang di Sabah dan Sarawak menggunakan spesies kayu tropika bagi pengeluaran kayu gergaji, venir, papan lapis dan produk-produk panel venir lain.  Lebih 45 peratus daripada kilang-kilang papan lapis dan 60 peratus kilang-kilang kumai terletak di Sabah dan Sarawak.

 

Kilang-kilang pemprosesan hiliran bagi pengeluaran papan gentian, BJC serta perabot dan komponen-komponen perabot kebanyakannya terletak di Semenanjung Malaysia.  Kilang-kilang ini sebahagian besarnya menggunakan kayu getah yang disumber daripada lading-ladang lestari.

 

Pengilang-pengilang perabot Malaysia mengeluarkan perabot terdiri daripada perabot pejabat, dapur, bilik tidur, bilik makan, bilik peristiwa, bilik istirehat, perabot diupholsteri/sofa, perabot luar dan taman.  Perabot-perabot ini diperbuat bukan sahaja daripada kayu, tetapi juga semua jenis bahan seperti rotan, logam, fabrik, plastik dan kaca, marmar dan bahan-bahan komposit lain.  Sebahagian besar pengilang-pengilang perabot ini terletak di Johor, Selangor, Sarawak, Perak dan Melaka.

 

Prestasi Mengikut Sektor

Kayu Gergaji

Industri ini adalah sebuah industri yang tertubuh dengan 1,202 kilang-kilang papan  beroperasi di Semenanjung Malaysia (667), Sabah (175) dan Sarawak (180).  Eksport kayu balak dan kayu gergaji pada 2010 berjumlah RM5.4 bilion dan eksport adalah terutamanya ke Thailand, Belanda, China, Jepun dan Singapura.

 

Produk-Produk Panel

Papan Lapis/Venir

Pada 2010, eksport papan lapis berjumlah RM5.2 bilion. Jenis papan lapis yang dikeluarkan termasuk papan lapis permukaan venir biasa, papan lapis lipat tindih seperti kertas bercetak dan papan lapis poliester, papan lapis untuk acuan konkrit dan papan lapis marin.  Papan lapis Malaysia telah mencapai piawaian antarabangsa seperti Piawaian Pertanian Jepun (JAS), Piawaian British (BS) dan Piawaian Persatuan Produk-Produk Kayu Keras (IHPA) bagi pasaran Amerika Syarikat dan Piawaian Eropah Terharmoni (EN) bagi pasaran Eropah.  Pada masa ini, Malaysia adalah pengeksport papan lapis tropika terbesar dunia dengan 180 kilang beroperasi.

 

Papan Zarah

Memandangkan perlunya dimaksimumkan penggunaan sumber-sumber kayu, industri ini telah dipelbagaikan kepada pengeluaran produk-produk panel bancuhan nilai tambah tinggi seperti papan zarah dan papan gentian ketumpatan sederhana.  Industri papan zarah telah berkembang dan kini terdapat 16 kilang yang beroperasi.  Industri ini dalam beberapa tahun yang lalu telah berjaya mengeksport produk-produk mereka, khususnya untuk kegunaan industri perabot.

 

Papan Gentian Ketumpatan Sederhana (MDF)

Industri MDF pada masa ini mempunyai 14 kilang dengan kapasiti terpasang tahunan sebanyak 2.9 juta m3Pada 2010, eksport MDF adalah sebanyak RM1.2 bilion. Industri ini telah mula menggunakan acacia mangium dan kayu keras campuran bagi mengeluarkan MDF sebagai alternatif kepada kayu getah.  Pada masa ini, Malaysia adalah pengeksport MDF ketiga terbesar dunia, selepas Jerman dan Perancis. MDF Malaysia telah mencapai piawaian antarabangsa seperti BS, Asia Pasifik: Jepun, Australia dan New Zealand (JANS), dan piawaian EN.  Sebilangan syarikat juga telah meneroka pengeluaran MDF berlamina/bercetak.

 

Produk-Produk Panel Venir

Selain MDF, industri ini terus membangunkan produk-produk tereka bentuk daripada venir seperti kayu gergaji venir berlamina (LVL), lapis bersilang venir berlamina (LVB) dan apit venir berlamina (LVS) bagi memenuhi permintaan aplikasi-aplikasi struktur dan industri.  Industri ini menggabungkan teknologi moden dengan penggunaan cekap sumber-sumber asli untuk mengeluarkan produk-produk ini bagi pasaran eksport. Selain mesra alam, produk-produk ini, dengan kualiti struktur dipertingkat untuk memenuhi keadaan iklim yang berbeza, semakin bertambah digunakan dalam industri pembinaan.

 

Kumai dan Tanggam & Pertukangan Kayu Pembina (BJC)

Produk-produk BJC termasuk kumai seni bina (panelan, kambi, puncak, dan selusur kerusi), pintu/tingkap dan aksesori-aksesori, bahan lantai kayu dan selusur kayu.  Eksport kumai dan BJC kebanyakannya ke Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Singapura dan Denmark.  Pada 2010, eksport kumai berjumlah RM715.9 juta manakala eksport BJC bernilai RM955.3 juta. Produk-produk utama dieksport adalah bahan lantai kayu dan pintu kayu.  Setakat ini, terdapat 344 kilang kumai dan tanggam di Malaysia.

 

Perabot dan Lekapan

Industri perabot Malaysia amat berorientasi eksport dengan lebih 90% pengeluaran dieksport.  Malaysia merupakan pengeksport perabot kesembilan terbesar dunia pada 2010 dengan mengeksport kepada lebih 160 negara.  Pada 2010, eksport perabot kayu berjumlah RM6.5 bilion dan destinasi-destinasi utama adalah Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

 

Antara perabot yang dieksport adalah perabot dapur, perabot bilik tidur, kerangka kayu yang diupholsteri dan perabot pejabat yang mana lebih 80 peratus diperbuat daripada  kayu getah, kayu keras sederhana berwarna muda yang lebih dikenali sebagai ‘kayu oak Malaysia’.  Eksport perabot taman/luar yang diperbuat daripada kayu keras tropika kebanyakannya ke pasaran Eropah.  Spesies kayu tropika padu yang digunakan terkenal dengan ketahanannya di bawah keadaan iklim yang berbeza.  Selain pasaran tradisional ini, perabot Malaysia telah menembusi pasaran-pasaran di New Zealand, Amerika Selatan, Timur Tengah, Afrika dan Rusia.  Malaysia adalah pembekal utama perabot pejabat ke pasaran Timur Tengah.

 

Syarikat-syarikat perabot Malaysia sebanyak kira-kira 1,900 kebanyakannya terletak di Semenanjung Malaysia.  Penumpuan tinggi syarikat-syarikat perabot adalah di Johor (Muar dan Kluang), Selangor (Klang dan Sungai Buloh) dan Melaka (Bukit Rambai).

 

Pengilang-pengilang perabot Malaysia memberi penekanan lebih kepada kemasan, rekaan dan pengeluaran produk-produk kualiti lebih tinggi dengan jenama sendiri kebanyakannya untuk pasaran eksport.  Sesetengah syarikat ini telah beralih daripada membekal perabot siap untuk dipasang kepada pengilangan perabot rekaan sendiri.  Dengan kesedaran bahawa mereka perlu beralih daripada rekaan secara manual kepada Rekaan Berbantukan Komputer (CAD), AutoCAD adalah salah satu sistem perisian popular yang digunakan pengilang-pengilang perabot Malaysia pada masa ini.  Bagi menghasilkan rekaan yang kedua-duanya berfungsian dan estetik, syarikat-syarikat perabot Malaysia meneroka penggunaan pelbagai jenis bahan-bahan lain seperti logam, kaca, plastik dan bahan-bahan komposit lain yang digabungkan dengan kayu getah atau spesies kayu lain untuk pasaran yang semakin canggih.

 

Biokomposit dan Biojisim

Malaysia mempunyai banyak sumber bahan-bahan gentian asli yang masih belum diteroka yang diperoleh daripada sektor pertanian.  Bahan-bahan gentian dan biojisim ini termasuk sekam padi, gentian batang pokok kelapa, kenaf dan biojisim kelapa sawit dalam bentuk batang pokok kelapa sawit (OPT), pelepah kelapa sawit (OPF) dan jambak buah kosong (EFB).  Bahan-bahan mentah alternatif ini membuka potensi yang luas untuk dimajukan.  Kerajaan menggalakkan pengiat-pengiat industri supaya menjalankan lebih banyak R&D untuk menentukan kebolehpercayaan bahan-bahan alternatif ini.

 

Peluang-Peluang Pelaburan dalam Industri Berasaskan Kayu

Malaysia akan memfokus kepada produk-produk hiliran nilai tinggi dalam pembangunan industri berasaskan kayunya. Ia akan diperkuatkan lagi melalui pembangunan bersepadu industri ini, dengan menggabungkan kedua-dua aktiviti-aktiviti pengilangan dan penyelidikan dan pembangunan termasuk rekaan produk dan promosi pasaran.  Ini amat penting dalam pembangunan industri berasaskan kayu memandangkan persaingan semakin meningkat daripada negara-negara kos rendah dan kaya sumber akan akhirnya memaksa Malaysia berundur daripada pasaran-pasaran bawahan.

 

Industri ini telah beralih kepada pengeluaran produk-produk kayu tereka bentuk yang diperbuat daripada bahan-bahan lain seperti buluh, rotan dan gentian-gentian seperti biojisim kelapa sawit (batang pokok kelapa sawit, jambak buah kosong, isirong) kenaf dan bahan-bahan pertanian lain (serbuk gergaji, sekam padi dan gentian batang pokok kelapa) bagi pengeluaran papan zarah, until-until papan gentian, briket dan produk-produk komposit lain.  Industri produk-produk panel bancuhan ini juga telah dipelbagaikan kepada pengilangan produk-produk komposit bancuhan nilai tambah tinggi seperti komposit polimer bertetulang gentian (FRPC).  Produk-produk ini dihasilkan dalam bentuk papan/profil, dan sesuai untuk kegunaan dalam industri, pembinaan, industri automotif dan perabot.

 

Produk-produk kayu tereka bentuk boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu produk-produk kayu struktur dan bukan struktur.  Produk-produk struktur termasuk papan lapis struktur, papan urai terhala (OSB), bahan komposit struktur, kayu balak berlamina glu (Glulam), kayu gergaji venir berlamina (LVL), kayu gergaji urai (selari atau terhala).  Produk-produk kayu tereka bentuk bukan struktur adalah papan zarah dan papan ketumpatan sederhana (MDF).  Pada masa ini, pengilang-pengilang kayu Malaysia mengeluarkan papan lapis struktur, LVL, papan zarah dan MDF.

 

Pada masa ini, produk-produk berikut digalakkan:-

 

  • Papan atau produk panel berasaskan kayu bancuhan
  • Pintu kayu padu atau pintu fungsi khas lain atau tingkap kayu padu
  • Parket  berbilang lapis
  • Rekaan, pembangunan dan pengeluaran perabot kayu
  • Penebatan bagi vesel kriogeni
  • Semua produk kayu kecuali kayu gergaji, venir dan papan lapis biasa.

 

Dasar Industri Kayu-Kayan Negara (NATIP)

NATIP yang dilancarkan pada 2009 adalah satu dasar baru yang dibentuk untuk industri kayu-kayan Malaysia sehingga tahun 2020.  Dasar ini melengkapkan sasaran IMP3 di mana ia dijangka akan menyediakan halatuju baru bagi industri kayu-kayan Malaysia agar kekal lestari, kompetitif dalam persekitaran global yang mencabar dan untuk mencapai sasaran RM53 bilion pendapatan eksport menjelang 2020.  NATIP menggariskan program-program dan aktiviti-aktiviti untuk menggalak dan memberi sokongan berterusan kepada industri ini dalam bidang-bidang inovasi dan teknologi; pemasaran dan promosi; modal insan; pembiayaan dan insentif-insentif serta membangun usahawan-usahawan bumiputera di semua peringkat bagi menambahbaik keupayaan mereka dalam pengurusan, kemahiran pengeluaran dan strategi pemasaran.

 

Kembali Ke atas

^ Back to Top
pg