Date: Wednesday 23-Apr-14


Print this page Print this page Decrease Font Size Increase Font Size

Tenaga Kerja untuk Industri

Pembangunan Tenaga Manusia

2. Pembangunan Tenaga Manusia

Jabatan Pembangunan Kemahiran di bawah Kementerian Sumber Manusia yang dahulunya dikenali sebagai Majlis Latihan Vokasional Negara (NVTC) telah ditubuhkan pada Mei 1989. Berkuatkuasa 1 September 2006, NVTC telah menukarkan namanya kepada Jabatan Pembangunan Kemahiran berikutan pengwartaan Akta Pembangunan Kemahiran Negara (Akta 652) bagi merumus, menggalak dan menyelaras strategi dan program latihan vokasional dan industri selaras dengan keperluan pembangunan teknologi dan ekonomi negara.

Jabatan ini menyelaras penubuhan semua institusi latihan awam dan swasta, menilai permintaan bagi kemahiran sedia ada dan masa hadapan, mengenal pasti keperluan latihan vokasional dan industri masa hadapan, dan berterusan membangun Piawaian Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS). Setakat ini, terdapat lebih 700 piawaian diperakui yang merangkumi kelayakan sijil, diploma dan diploma lanjutan. Di bawah NOSS, 20 sektor industri utama telah dikenal pasti bagi pembangunan piawaian di masa hadapan.

2.1 Kemudahan untuk Latihan Kemahiran Industri

Di Malaysia, sekolah-sekolah vokasional dan teknikal, politeknik dan institusi latihan industri menyediakan belia untuk pekerjaan dalam pelbagai tred. Sungguhpun kebanyakannya dijalankan oleh agensi kerajaan, terdapat beberapa inisiatif swasta yang melengkapkan usaha kerajaan untuk mengeluarkan pekerja-pekerja mahir yang diperlukan oleh industri-industri.

Agensi-agensi utama kerajaan yang terbabit dalam latihan ialah:

Kementerian Sumber Manusia pada masa ini mengendalikan 21 institut latihan industri. Institut-institut itu menawarkan program latihan kemahiran industri pada tahap asas, pertengahan dan lanjutan bagi peringkat pra-pekerjaan atau kemasukan kerja. Ia termasuk program perantisan dalam bidang pekerjaan mekanikal, elektrikal, pembinaan dan percetakan serta program menaik taraf kemahiran dan melatih pengajar.  Kementerian itu juga mengendalikan Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST), Institut Teknikal Jepun-Malaysia (JMTI) dan empat pusat latihan teknologi tinggi (ADTEC).

Kementerian Pengajian Tinggi, ditubuhkan pada Mac 2004, menyelia universiti-universiti awam dan swasta, 27 politeknik dan 72 kolej komuniti untuk menyediakan tenaga manusia mahir untuk industri. Di peringkat lepasan menengah, latihan formal yang dijalankan di politeknik-politeknik dan kolej-kolej komuniti bertujuan menghasilkan sumber manusia terlatih di peringkat separa profesional dalam sektor-sektor kejuruteraan, perniagaan dan perkhidmatan.

Kementerian Pelajaran mengendalikan lebih daripada 90 sekolah teknikal yang menawarkan kursus-kursus teknikal dan vokasional. Mereka yang tamat pendidikan sekolah teknikal boleh mencari pekerjaan di peringkat kemasukan kerja atau melanjutkan pelajaran di peringkat diploma di Politeknik-politeknik atau peringkat sijil di Kolej-kolej Komuniti  atau institut-institut latihan di bawah penyeliaan kementerian-kementerian lain.

Kementerian Belia dan Sukan menyediakan latihan kemahiran industri di peringkat asas, pertengahan dan lanjutan, melalui 16 Pusat Latihan Kemahiran Belia Negara dan Pusat Latihan Kemahiran Tinggi Belia Negara. Kursus jangka pendek dan program naik taraf kemahiran turut dijalankan.

Majlis Amanah Rakyat (MARA), di bawah bidang tugas Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mengendalikan lebih daripada 20 institut latihan kemahiran di seluruh negara yang menawarkan program pada tahap asas, pertengahan, lanjutan dan profesional.

2.2 Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia

Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) telah ditubuhkan pada 1993 dan ditadbir oleh Majlis Pembangunan Sumber Manusia (HRDC). Selaras dengan langkah pengkorporatannya HRDC kini dikenali sebagai Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB).

HRDF beroperasi mengikut sistem levi/bantuan. Majikan yang telah membayar levi layak mendapat bantuan latihan daripada kumpulan wang ini bagi membiayai atau mengsubsidikan kos latihan untuk para pekerja warga Malaysia mereka.

Syarikat-syarikat perkilangan mencarum kepada kumpulan wang ini seperti berikut:-

Syarikat yang menggaji 50 atau lebih pekerja

1% daripada gaji  bulanan pekerja
Syarikat yang menggaji kurang 50     hingga minimum 10 pekerja, dengan modal berbayar RM2.5 juta atau lebih 1% daripada gaji bulanan pekerja
Syarikat yang menggaji kurang 50 hingga minimum 10 pekerja, dengan modal berbayar RM2.5 juta diberi opsyen untuk berdaftar dengan PSMB 0.5% daripada gaji bulanan pekerja

Pada masa ini, kadar bantuan kewangan yang diberikan adalah sebanyak 100% daripada kos dibenarkan yang dibelanjakan bagi latihan di Malaysia dan sehingga 50% daripada kos yang dibelanjakan di luar negara, tertakluk kepada ketersediaan levi dalam akaun majikan dengan PSMB.

Setakat ini, PSMB telah melaksanakan pelbagai skim untuk menyediakan tenaga pekerja yang terlatih kepada industri-industri, iaitu skim perantisan, skim-skim geran latihan serta skim-skim latihan kemahiran asas yang lain.

Di bawah skim perantisan, majikan-majikan layak mendapat kadar 100% bantuan kewangan bagi kos latihan yang dibenarkan seperti elaun bulanan perantis, premium insurans dan bahan-bahan guna habis.  Setakat ini skim-skim itu telah menampung keperluan pelbagai industri seperti mekatronik, perhotelan dan pelancongan, perkilangan, teknologi maklumat, acuan dan dai, dan industri berasaskan kayu.

Bagi memudahcara majikan menyumber program-program latihan yang sesuai melalui Internet, PSMB telah membangunkan laman web HRD di www.hrdportal.com.my. Portal ini bertindak sebagai pusat sehenti yang membolehkan pembekal latihan memasarkan program-program latihan mereka secara lebih berkesan dan cekap melalui kemudahan interaktif yang terdapat di laman web itu.

Untuk maklumat lanjut mengenai HRDF, sila layari www.hrdf.com.my.

2.3 Kakitangan Pengurusan

Sehingga 2010, dianggarkan terdapat lebih daripada  92,979 pemegang ijazah dan 57,185 pemegang diploma yang tamat pengajian daripada  20 institutsi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta lain (IPTS) di Malaysia. Graduan-graduan ini adalah daripada pelbagai disiplin dari pengurusan perniagaan, teknologi maklumat, kejuruteraan, perubatan, sains dan matematik hingga sastera dan reka bentuk.

Selain universiti-universiti dan kolej-kolej, agensi-agensi seperti Perbadanan Produktiviti Malaysia, Institut Pengurusan Malaysia dan Institut Pengurusan Kakitangan Malaysia juga menyediakan latihan bagi kakitangan pengurusan. Di samping itu, ramai kakitangan pengurusan di Malaysia telah mendapat pendidikan di seberang laut.

 



^ Back to Top
pg