Date: Saturday 19-Apr-14


Print this page Print this page Decrease Font Size Increase Font Size

Pengurusan Alam Sekitar

Keperluan Alam Sekitar

2. KEPERLUAN ALAM SEKITAR

Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 dan peraturan-peraturan bersampingan dengannya menetapkan supaya penilaian kesan alam sekitar, penilaian awal tapak projek, kawalan pencemaran, pemantauan dan penguatkuasaan sendiri dilaksanakan.  Aktiviti-aktiviti perindustrian dikehendaki mendapatkan kelulusan berikut daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar sebelum melaksanakan projek:

(i) Penilaian kesan alam sekitar bagi Aktiviti Ditetapkan

(ii) Penilaian awal tapak bagi  Aktiviti Tidak Ditetapkan

(iii) Kebenaran bertulis untuk membina

(iv) Kelulusan bertulis bagi pemasangan penunu, alat pembakaran bahan api dan cerobong

(v) Lesen untuk menduduki dan menggunakan premis ditetapkan dan pembawa ditetapkan

2.1 Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar bagi Aktiviti Ditetapkan

Pelabur terlebih dahulu hendaklah menyemak sama ada penilaian kesan alam sekitar (EIA) diperlukan bagi aktiviti-aktiviti perindustrian yang dicadangkan.  Aktiviti-aktiviti yang ditetapkan di bawah Perintah Kualiti Alam Sekililing (Aktiviti Ditetapkan) (Penilaian Kesan Alam Sekililing) 1987, yang memerlukan penilaian EIA sebelum kelulusan projek adalah seperti berikut:

(i) Pertanian

a. Skim pembangunan tanah meliputi kawasan seluas 500 hektar atau lebih untuk menukar tanah hutan kepada penghasilan bahan pertanian.

b. Program pertanian yang memerlukan penempatan semula 100 keluarga atau lebih.

c. Pembangunan estet pertanian meliputi kawasan 500 hektar atau lebih yang membabitkan penukaran jenis kegunaan pertanian.

(ii) Lapangan Terbang

a. Pembinaan lapangan terbang (mempunyai landasan sepanjang 2,500 meter atau lebih.

b. Pembangunan landasan terbang dalam taman rimba negeri dan taman negara.

(iii) Saliran dan Pengairan

a. Pembinaan empangan dan tasik buatan manusia dan pembesaran tidak semula jadi tasik yang mempunyai kawasan permukaan seluas 200 hektar atau lebih.

b. Saliran kawasan paya, habitat kehidupan liar atau hutan dara yang meliputi kawasan seluas 100 hektar atau lebih.

c. Skim pengairan meliputi kawasan seluas 5,000 hektar atau lebih.

(iv) Penebus-gunaan Tanah

  • Penebus-gunaan tanah kawasan tepi pantai melibatkan kawasan 50 hektar atau lebih.

(v) Perikanan

a. Pembinaan pangkalan perikanan.

b. Pengembangan pangkalan membabitkan peningkatan kapasiti pendaratan ikan 50% atau lebih setahun.

c. Projek akuakultur atas darat membabitkan pembersihan hutan paya bakau meliputi kawasan seluas 50 hektar atau lebih.

(vi) Perhutanan

a. Penukaran kawasan hutan bukit kepada kegunaan tanah yang lain meliputi kawasan seluas 50 hektar atau lebih.

b. Pembalakan atau penukaran kawasan hutan kepada kegunaan tanah yang lain dalam lingkungan kawasan tadahan kolam air yang digunakan untuk bekalan air perbandaran, pengairan atau penjanaan kuasa hidro atau dalam kawasan bersebelahan dengan taman-taman rimba negeri atau negara dan taman laut negara.

c. Pembalakan yang meliputi kawasan seluas 500 hektar atau lebih

d. Penukaran kawasan paya bakau untuk kegunaan industri, perumahan atau pertanian meliputi kawasan seluas 50 hektar atau lebih.

e. Pembersihan kawasan paya bakau di pulau bersebelahan taman laut negara

(vii) Perumahan

  • Pembangunan kawasan perumahan meliputi kawasan seluas 50 hektar.

(viii) Industri

a. Kimia

  • Di mana kapasiti pengeluaran setiap produk atau produk-produk tergabung melebihi 100 tan metrik sehari

b. Petrokimia

  • Semua saiz

c. Bukan Ferus

  • Peleburan primer:

    Aluminium - semua saiz

    Tembaga - semua saiz

    Lain-lain - mengeluarkan 50 tan metrik dan lebih sehari bagi produk berkenaan

d. Bukan Logam

  • Simen

- untuk klinker diproses sebanyak 30 tan metrik sejam dan lebih

  • Kapur

- 100 tan metrik sehari  dan lebih untuk kapur berbakar menggunakan tanur berputar atau

- 50 tan metrik sehari dan lebih menggunakan tanur menegak

 

e. Besi dan Keluli

  • Memerlukan bijih besi sebagai bahan mentah untuk pengeluaran melebihi 100 tan metrik sehari; atau Menggunakan besi serpihan sebagai bahan mentah untuk pengeluaran melebihi 200 tan metrik sehari

f. Limbungan Kapal

  • Tan Berat Mati melebihi 5,000 tan metrik

g. Industri Pulpa dan Kertas

  • Kapasiti pengeluaran melebihi 50 tan metrik sehari

(ix) Infrastruktur

a. Pembinaan hospital dengan lupus menghala ke tepi pantai yang digunakan untuk rekreasi.

b. Pembangunan kawasan perindustrian bagi industri sederhana dan berat meliputi kawasan seluas 50 hektar atau lebih.

c. Pembinaan lebuhraya ekspres.

d. Pembinaan lebuhraya negara.

e. Pembinaan bandar baru.

(x) Pelabuhan

a. Pembinaan pelabuhan

b. Pengembangan pelabuhan melibatkan peningkatan 50 peratus atau lebih kapasiti pengendalian setahun

(xi) Perlombongan

a. Perlombongan bahan galian dalam kawasan baru yang mana pajakan perlombongan meliputi kawasan melebihi 250 hektar.

b. Pemprosesan bijih, termasuk penumpuan aluminium, tembaga, emas atau tantalum.

c. Pengorekan pasir melibatkan kawasan seluas 50 hektar atau lebih.

(xii) Petroleum

a. Pembangunan medan minyak dan gas.

b. Pembinaan saluran paip luar pesisir dan dalam pesisir melebihi 50 kilometer panjang.

c. Pembinaan kemudahan pengasingan, pemprosesan, pengangkutan dan penstoran minyak dan gas.

d. Pembinaan loji penapis minyak.

e. Pembinaan depot produk untuk penstoran petrol, gas atau diesel (tidak termasuk stesen minyak) yang terletak dalam lingkungan tiga kilometer mana-mana kawasan komersial, industri atau kediaman dan yang mempunyai kapasiti penstoran tergabung sebanyak 60,000 tong atau lebih.

(xiii) Penjanaan dan Penghantaran Tenaga

a. Pembinaan stesen janakuasa stim yang membakar bahan api fosil dan mempunyai kapasiti melebihi 10 megawatt.

b. Empangan dan skim janakuasa hidro elektrik yang mempunyai salah satu atau kedua-dua ciri berikut:

• empangan melebihi 15 meter tinggi dan binaan tambahan meliputi kawasan melebihi 40 hektar;

• kolam air yang mempunyai kawasan permukaan melebihi 400 hektar.

c. Pembinaan stesen janakuasa kitar tergabung.

d. Pembinaan stesen janakuasa bahan api nuklear.

(xiv) Kuari

  • Cadangan menjalankan kerja-kerja mengkuari batu baur, batu kapur, silika, kuarza, batu pasir, marmar dan batu binaan hiasan dalam lingkungan 3 kilometer dari kawasan kediaman, komersial atau industri sedia ada, atau mana-mana kawasan yang telah diberikan lesen, permit atau kelulusan untuk pembangunan kediaman, komersial atau industri.

(xv) Landasan Kereta Api

a. Pembinaan landasan baru.

b. Pembinaan landasan cabang.

(xvi) Pengangkutan

  • Pembinaan projek Pengangkutan Laju Massa

(xvii) Pembangunan Tempat Peranginan dan Rekreasi

a. Pembinaan kemudahan peranginan atau hotel tepi pantai melebihi 80 bilik.

b. Pembangunan tempat peranginan atau hotel stesen bukit meliputi kawasan 50 hektar atau lebih.

c. Pembangunan kemudahan pelancongan atau rekreasi di taman negara.

d. Pembangunan kemudahan pelancongan atau rekreasi di pulau yang mana perairan sekelilingnya telah digazetkan sebagai taman laut negara.

(xviii) Pengolahan dan Pelupusan Buangan

a. Buangan Toksik dan Berbahaya

• Pembinaan loji pembakaran

• Pembinaan loji pemulihan (luar tapak)

• Pembinaan loji pengolahan air buangan (luar tapak)

• Pembinaan kemudahan penimbusan tanah selamat.

• Pembinaan kemudahan penstoran ( luar tapak)

b. Buangan Pepejal Perbandaran

• Pembinaan loji pembakaran

• Pembinaan loji pembajaan

• Pembinaan loji pemulihan/kitar semula

• Pembinaan kemudahan penimbusan tanah buangan pepejal perbandaran

c. Kumbah Perbandaran

• Pembinaan loji pengolahan air buangan

• Pembinaan lupus samudera

(xix) Bekalan Air

a. Pembinaan empangan, takungan kolam air dengan kawasan permukaan seluas 200 hektar atau lebih.

b. Pembangunan air bawah tanah bagi bekalan industri, pertanian atau bandar melebihi 4,500 meter padu sehari.

2.2 Siapa Yang Boleh Menjalankan Kajian EIA

Kajian EIA hendaklah dijalankan oleh orang yang layak dan telah berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (DOE) di bawah Skim Pendaftaran Perunding.  Senarai perunding berdaftar dan butiran mengenai skim pendaftaran ini boleh didapati di laman web DOE, www.doe.gov.my.

2.3 Penilaian Awal Tapak

Salah satu faktor penting untuk mendapatkan kelulusan alam sekitar adalah kesesuaian tapak bagi projek dicadangkan.  Kesesuaian tapak dinilai berdasarkan kesecocokan projek dengan pelan-pelan struktur atau setempat yang digazetkan, kegunaan tanah di sekelilingnya, penyediaan halangan atau zon penampan, kapasiti kawasan untuk menerima beban pencemaran bertambah, dan keperluan pelupusan buangan.

Penilaian awal tapak menjadi proses utama bagi memastikan kesesuaian tapak bagi semua projek pembangunan yang dirujukkan kepada DOE.  Oleh itu, penilaian ini perlu dilakukan terlebih dahulu bagi kedua-dua aktiviti ditetapkan dan tidak  ditetapkan.  Bagi aktiviti ditetapkan, penilaian ini mestilah dilakukan sebelum EIA dijalankan untuk memastikan tapak yang dipilih sesuai dengan aktiviti yang dicadangkan dan secocok dengan kegunaan tanah disekelilingnya.  Ia juga membantu pencadang projek untuk menjimatkan kos menjalankan EIA sekiranya tapak didapati tidak sesuai.

2.4 Pemberitahuan atau Kebenaran Bertulis Untuk Membina

Sesiapa yang berhasrat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seperti tersenarai di bawah mestilah mengemukakan kebenaran terlebih dahulu kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar:

i. Menjalankan sebarang kerja ke atas mana-mana premis atau membina apa-apa bangunan yang mungkin membuang atau melepaskan efluen perindustrian atau efluen bercampur, atau melakukan atau menyebabkan atau membenarkan satu perubahan jisim dalam kuantiti dan kualiti buangan daripada sesuatu sumber sedia ada, ke atas atau ke dalam mana-mana tanah, atau ke dalam kawasan perairan darat atau perairan Malaysia, selain daripada premis-premis yang telah ditetapkan dalam Jadual Pertama, Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Efluen Perindustrian) 2009;

ii. Membuang atau melepaskan atau membenarkan buangan kumbahan ke atas atau ke dalam mana-mana kawasan perairan darat atau perairan Malaysia, selain daripada mana mana pembangunan perumahan atau komersial atau kedua-duanya yang mempunyai bilangan penduduk bersamaan kurang daripada seratus lima puluh (150) seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kumbahan), 2009.

iii. Menjalankan ke atas mana-mana tanah atau kemudahan atau bangunan yang mungkin menyebabkan berlakunya satu sumber baru buangan larut lesap atau pelepasan seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kawalan Pencemaran daripada Stesen Pemindahan Buangan Pepejal dan Kemudahan Penimbusan Tanah), 2009.

Sesiapa yang berhasrat untuk membina ke atas mana-mana tanah atau mana-mana bangunan; atau menjalankan kerja yang akan menyebabkan tanah atau bangunan menjadi premis ditetapkan (kilang minyak sawit mentah, kilang memproses getah asli mentah, dan kemudahan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual) seperti termaktub di bawah Seksyen 19, Akta Kualiti Alam Sekitar, 1974 mestilah mendapatkan kebenaran bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar.

Permohonan sedemikian hendaklah dikemukakan bersama bayaran yang ditetapkan.

2.5 Kelulusan Bertulis Bagi Pemasangan Penunu, Alat Pembakaran Bahan Api dan Cerobong

Pemohon-pemohon yang berhasrat untuk menjalankan aktiviti-aktivit yang tersenarai di bawah mestilah mendapatkan kelulusan bertulis terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekitar:

i. Pemasangan baru berhampiran kawasan kediaman seperti dibutirkan dalam Peraturan 4 dan Jadual Pertama Peraturan Kualiti Alam Sekililing (Udara Bersih)1978.

ii. Sebarang binaan (termasuk penunu), pemasangan, penempatan semula atau pengubahsuaian alat pembakaran bahan api yang dikadarkan menggunakan bahan api berdebu atau bahan api pepejal sebanyak 30 kg atau lebih sejam, atau bahan api cecair atau gas sebanyak 15 kg atau lebih sejam seperti termaktub dalam Peraturan 36 dan 38, Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 1978.

iii. Sebarang binaan, pemasangan, penempatan semula atau pengubahsuaian cerobong daripada mana atau melalui mana bahan pencemaran udara boleh masing-masing dilepaskan atau dibuangkan.

* Tidak ada bayaran dikenakan bagi permohonan untuk kelulusan bertulis.

2.6 Lesen untuk Menduduki Premis Ditetapkan dan Pembawa Ditetapkan

Satu lesen diperlukan untuk menduduki dan menggunakan premis ditetapkan seperti berikut:

i. kilang minyak kelapa sawit mentah,

ii. kilang memproses getah asli mentah, dan

iii. kemudahan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual.

Lesen diperlukan untuk menggunakan pembawa ditetapkan seperti termaktub dalam Perintah Kualiti Alam Sekitar (Pembawa Ditetapkan) (Buangan Terjadual) 2005.  Pembawa yang dikategorikan sebagai pembawa ditetapkan adalah mana-mana kenderaan atau kapal sebarang jenis yang:

i. didorong oleh mekanisme yang terkandung dalam pembawa itu sendiri;

ii. dibina atau diubahsuai untuk digunakan di atas darat atau air; dan

iii. digunakan untuk pergerakan, pemindahan, penempatan atau pelonggokan buangan terjadual.

Pemohonan untuk mendapatkan lesen berkenaan hendaklah dilakukan selepas mendapat kebenaran bertulis dan/atau kelulusan bertulis (seperti tersebut di 2.3 dan 2.4). Bayaran dikenakan bagi setiap lesen yang dikeluarkan untuk kilang minyak kelapa sawit mentah, kilang memproses getah asli mentah dan kemudahan pengolahan dan pelupusan buangan terjadual serta pembawa ditetapkan.

2.7 Piawaian Lepasan Bergas dan Efluen

Industri-industri dikehendaki mematuhi piawaian-piawaian lepasan udara, efluen perindustrian, kumbahan dan buangan larut lesap yang dianggap sebagai keadaan-keadaan yang boleh diterima di Malaysia, seperti termaktub dalam Peraturan Kualiti Alam Sekililing (Udara Bersih) 1978 dan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Efluen Perindustrian) 2009, Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kumbahan) 2009, dan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Kawalan Pencemaran daripada Stesen  Pemindahan Buangan Pepejal dan Kemudahan Penimbusan Tanah) 2009.

2.8 Kawalan ke atas Bahan Penipisan Lapisan Ozon

Bahan penipisan lapisan ozon dikategorikan sebagai bahan berbahaya kepada alam sekitar di bawah Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Pengurusan Refrigeran) 1999 dan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Pengurusan Halon) 1999. Pelaburan-pelaburan baru yang membabitkan penggunaan bahan-bahan ini dilarang.

2.9 Pengurusan Buangan Terjadual

Malaysia telah membangunkan satu set peruntukan perundangan yang komprehensif berkaitan pengurusan buangan toksik dan berbahaya. Peraturan ini berdasarkan prinsip dari awal ke akhir. Kemudahan yang menjana, menyimpan, mengangkut, mengolah dan melupus buangan terjadual tertakluk kepada peraturan-peraturan utama berikut:

i. Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 (Pindaan) 2007;

ii. Perintah Kualiti Alam Sekitar (Pembawa Ditetapkan) (Buangan Terjadual) 2005;

iii. Perintah Kualiti Alam Sekitar (Premis Ditetapkan) (Kemudahan Pengolahan dan Pelupusan Buangan Terjadual) (Pindaan) 2006;

iv. Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Premis Ditetapkan) (Kemudahan Pengolahan dan Pelupusan Buangan Terjadual) (Pindaan) 2006;

v. Perintah Kastam (Larangan Eksport) 2008; dan

vi. Perintah Kastam (Larangan Import) 2008.

2.9.1 Ringkasan Keperluan Alam Sekitar bagi Buangan Terjadual

Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005 mula berkuatkuasa pada 15 Ogos 2005, dan ia menggantikan Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 1989.  Di bawah peraturan baru ini, 77 jenis buangan terjadual yang tersenarai dalam Jadual Pertama dibahagikan kepada 5 kategori, iaitu:

i. SW 1

  • Logam dan buangan mengandungi logam (10 jenis buangan terjadual)

ii. SW 2

  • Buangan yang mengandungi terutamanya juzuk tidak organik yang mungkin mengandungi logam dan bahan organik (7 jenis buangan terjadual);

iii. SW 3

  • Buangan yang mengandungi terutamanya juzuk organik yang mungkin mengandungi logam dan bahan  tidak organik (27 jenis buangan terjadual);

v. SW 4

  • Buangan yang mungkin mengandungi sama ada juzuk tidak organik atau organik (32 jenis buangan terjadual)

v. SW 5

  • Buangan-buangan lain (1 jenis buangan terjadual)

Buangan terjadual boleh distor, dipulih atau diolah di dalam premis penjana-penjana buangan.  Aktiviti-aktiviti ini tidak memerlukan lesen daripada Jabatan Alam Sekitar.  Penjana-penjana buangan boleh menyimpan buangan terjadual yang dijana oleh mereka selama 180 hari atau kurang selepas penjanaan buangan itu dengan syarat kuantiti buangan terjadual yang dihimpun di tapak tidak melebihi 20 tan metrik. Bagaimanapun, penjana-penjana buangan boleh memohon kepada Ketua Pengarah secara bertulis untuk menyimpan buangan terjadual melebihi 20 tan metrik.  Bekas-bekas yang digunakan untuk menyimpan buangan terjadual mestilah dilabel dengan tarikh buangan terjadual itu mula dijana dinyatakan dengan jelas serta nama, alamat dan number telefon penjana buangan.

Penimbusan tanah, pembakaran, pelupusan dan kemudahan-kemudahan luar tapak bagi pemulihan, penstoran dan pengolahan hanya boleh dijalankan di premis-premis ditetapkan yang telah diberi lesen oleh Jabatan Alam Sekitar.  Bagaimanapun, dengan pemeteraian penjanjian konsesi antara Kerajaan Malaysia dan Kualiti Alam Sdn Bhd pada 18 Disember 1995, (tempoh konsesi 15 tahun), semua pengolahan dan pelupusan luar tapak (pembakaran, pengolahan air buangan, penstoran dan penimbusan tanah selamat) buangan terjadual tidak dibenarkan.

Pembakaran buangan terjadual di tapak tidak digalakkan.  Sekiranya ia perlu dilakukan, permohonan bagi pemasangan penunu mestilah mematuhi dengan ketat “Garispanduan Pemasangan Penunu Di Tapak bagi Pelupusan Buangan Terjadual di Malaysia” (yang diterbitkan oleh Jabatan Alam Sekitar), termasuk keperluan menjalankan penilaian kesan alam sekitar yang lengkap dan laporan EIA itu hendaklah dibentangkan untuk ulasan orang awam.

Penjana-penjana buangan boleh memohon untuk mendapatkan kebenaran bagi melaksanakan  pengurusan khas buangan terjadual yang membolehkan buangan terjadual yang dijanakan daripada kemudahan atau proses mereka dikecualikan daripada diolah, dilupus atau dipulih di premis-premis atau kemudahan-kemudahan selain daripada premis-premis ditetapkan atau kemudahan-kemudahan pengolahan atau pemulihan di tapak, seperti termaktub di bawah Peraturan 7 (1), Peraturan Kualiti Alam Sekitar (Buangan Terjadual) 2005.



^ Back to Top
pg