Date: Saturday 19-Apr-14


Print this page Print this page Decrease Font Size Increase Font Size

Perihal MIDA

Fungsi MIDA

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) adalah pusat rujukan utama bagi para pelabur yang berhasrat untuk mendirikan projek-projek dalam sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan di Malaysia.

Beribu pejabat di ibu negara Kuala Lumpur, MIDA telah menubuhkan rangkaian global pejabat-pejabat seberang laut yang meliputi Amerika Utara, Eropah dan Asia-Pasifik bagi membantu para pelabur yang berminat menempatkan pangkalan perkilangan mereka di rantau ASEAN.

Di Malaysia, MIDA mempunyai 12 pejabat cawangan di beberapa negeri bagi membantu para pelabur dalam pelaksanaan dan operasi projek-projek mereka.

Fungsi-fungsi utama MIDA adalah:

Untuk menggalakkan pelaburan asing dan tempatan dalam sektor-sektor perkilangan dan perkhidmatan;
Untuk menjalankan perancangan bagi pembangunan perindustrian di Malaysia;
Untuk mengesyorkan dasar-dasar dan strategi-strategi bagi penggalakan dan pembangunan perindustrian kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri;
Untuk menilai permohonan-permohonan bagi lesen pengilang dan jawatan asing; insentif cukai bagi aktiviti-aktiviti perkilangan, pelancongan, R&D, institusi latihan; dan pengecualian duti ke atas bahan mentah, komponen dan mesin.
Untuk membantu syarikat-syarikat dalam pelaksanaan dan operasi projek-projek mereka, dan menawarkan bantuan melalui rundingan terus dan kerjasama dengan pihak-pihak berkuasa berkenaan di peringkat persekutuan dan negeri.
Untuk memudahkan pertukaran maklumat dan penyelarasan di kalangan institusi-institusi yang terlibat dalam atau berhubungkait dengan pembangunan perindustrian.

Bagi meningkatkan lagi peranan MIDA dalam memberi bantuan kepada para pelabur, wakil-wakil kanan daripada agensi-agensi utama ditempatkan di ibu pejabat MIDA di Kuala Lumpur untuk memberi nasihat kepada para pelabur mengenai dasar dan prosedur Kerajaan. Wakil-wakil itu termasuk pegawai-pegawai dari Kementerian Kewangan, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam dan Eksais DiRaja, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Tenaga Nasional Berhad dan Telekom Malaysia Berhad.

Bagi memperbaiki sistem penyampaian, satu unit Imigresen telah ditubuhkan di ibu pejabat MIDA bagi mempercepatkan proses pengeluaran visa dan permit pekerjaan bagi pegawai dagang dan pasangannya.

 



^ Back to Top
pg